Taklimat Pengurusan Pendaftaran Ibadah Haji

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 12 Jan – Jabatan Urusan Haji, semalam , telah mengadakan sesi taklimat mengenai Pengurusan Pendaftaran Ibadah Haji bagi tahun 1438 Hijrah/2017 Masihi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.

Sesi taklimat adalah berkaitan dengan borang pendaftaran menunaikan haji, syarat-syarat pendaftarannya, kriteria-kriteria kelayakan dan pemilihan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendaftaran haji.

Hadir mendengar taklimat tersebut ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat. Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Haji Abdul Rahman bin Haji Mohd Zain bersama pegawai-pegawai urusan Haji dan pegawai-pegawai Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong.

Semasa sesi Taklimat Pengurusan Pendaftaran Ibadah Haji Tahun 1438 Hijrah bersamaan 2017 Masihi, diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.
Semasa sesi Taklimat Pengurusan Pendaftaran Ibadah Haji Tahun 1438 Hijrah bersamaan 2017 Masihi, diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.

Orang ramai terutama penduduk Daerah Tutong boleh mendapatkan borang pendaftaran bagi menunaikan ibadat haji bagi tahun 1438 Hijrah/2017 Masihi di Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong yang akan dibukakan bermula 16 Januari 2017 sehingga 15 April 2017, dari jam 8:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang.

Selain itu, borang pendaftaran juga bolehlah didapati di Unit Pendaftaran, Bahagian Pengurusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Tingkat 2, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Menteri Besar dan di Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait dan Temburong.