Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 10 NOV – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan akan mengungkayahkan Projek Penyelidikan Bahasa dan Kalimat Tua yang dirancang untuk mula dilaksanakan pada Disember depan.
Ia adalah sebagai satu lagi usaha untuk menggerak aktifkan penyelidikan budaya dan seterusnya mendokumentasikan hasil.
Sehubungan itu, taklimat bersama penghulu mukim dan ketua kampung serta warga emas dari keempat-empat daerah diadakan bagi memberikan penerangan yang jelas mengenai projek penyelidikan yang dilaksanakan untuk sama-sama membantu mendapatkan informan-informan penyelidikan di setiap daerah.
Hari ini, taklimat telah diadakan bagi Daerah Tutong yang berlangsung di Perpustakaan DBP, Tutong di mana hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Penerangan mengenai projek itu disampaikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.
Seterusnya, penghuraian mengenai bahasa dan kalimat tua diterangkan oleh Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Bakyr dan Profesor Madya Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, selaku pakar rujuk.
Taklimat seterusnya akan diadakan pada 16 November bagi Daerah Belait dan 17 November bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelaksanaan projek penyelidikan itu juga adalah sebagai usaha untuk menjejaki kewujudan bahasa dan kalimat tua yang pernah dituturkan dan digunakan oleh masyarakat Brunei untuk diperkenalkan semula menerusi pendokumentasian.
Selain itu, projek juga untuk mengetengahkan dan menyerlahkan semula bahasa dan kalimat tua yang boleh diangkat dan distandardisasikan dalam penggunaan bahasa Melayu pada masa kini dan akan datang, serta berusaha, memelihara dan mendokumentasi khazanah seni budaya bangsa.
Ia akan menumpukan kajian lapangan, iaitu menemu bual informan-informan yang dikenal pasti dari keempat-empat daerah.