Taklimat pupuk keselamatan kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran kepada pekerja mengenai bahaya kebakaran dan keselamatan mengenai cuaca yang tidak menentu, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengendalikan Taklimat Keselamatan Umum, Life Saver 995 bagi Pekerja Istana Maintenance Department (IMD) Nurul Iman, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi F, JBP, di sini, taklimat berkenaan disertai oleh seramai 14 orang peserta dan diadakan di Balai Bomba Tumasek pada 5 Disember lalu.

Semasa taklimat berkenaan, para peserta diberikan penerangan dalam taklimat mengenai keselamatan umum, Life Saver 995, pengosongan bangunan, mengangkat mangsa dan tunjuk cara menggunakan alat pemadam api dengan betul mengikut jenis.

Taklimat itu juga bermatlamat untuk memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan kebakaran di dalam bangunan serta membolehkan interaksi, kerjasama dan mengukuhkan lagi hubungan di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak pekerja Istana Nurul Iman.

Kenyataan menyatakan, kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa, oleh itu, meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa cuaca tidak menentu adalah amat penting.

Di samping itu, JBP turut menyarankan orang ramai untuk memastikan pemasangan dan penyambungan pendawaian elektrik dibuat oleh orang yang berkemahiran dan diiktiraf atau bertauliah serta mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik. Mereka juga disarankan untuk sentiasa meningkatkan pencegahan kebakaran, tidak merasa cemas sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Para pekerja IMD diberikan penerangan dan tunjuk cara menggunakan alat pemadam api dengan betul. – Gambar Cawangan Operasi F, JBP