Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Taklimat sukatan pelajaran Al-Quran secara dalam talian

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) selaku Jawatankuasa Kerja Bahagian Sukatan Pelajaran (Kurikulum) Sumber Pengajaran dan Pembelajaran bagi Program Pembelajaran Al-Quran di Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kerajaan dan Swasta pada kelmarin telah mengadakan Taklimat Sukatan Pelajaran Al-Quran (Kurikulum Tetap) Tahun 2022 bagi Tahun 9 dan 10 secara maya. 

    Kira-kira 250 orang ketua-ketua guru agama dan ketua-ketua jabatan serta guru-guru mata pelajaran Al-Quran Tahun 9 dan 10 dari semua institusi menengah, maktab kerajaan dan swasta seluruh negara menghadiri taklimat tersebut.

    Taklimat ini bertujuan untuk memberigakan maklumat kepada guru-guru mengenai pelaksanaan Kurikulum Tetap mata pelajaran Al-Quran Tahun 9 (yang telah dikemaskini bagi tahun 2022) dan Tahun 10 serta penggunaan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab kerajaan dan swasta.

    Taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hamdani bin Haji Mohamad Diah selaku pengerusi Bahagian Sukatan Pelajaran (Kurikulum) Sumber Pengajaran dan Pembelajaran serta Pemangku Penolong Pengarah Profesional, JPI, KHEU, Pengiran Razak bin Pengiran Haji Metahir selaku timbalan pengerusi Bahagian Sukatan Pelajaran (Kurikulum) Sumber Pengajaran dan Pembelajaran.

    Turut hadir ialah ketua-ketua serta wakil bagi setiap bahagian Jawatankuasa Kerja Program Pembelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab kerajaan dan swasta.

    Program tersebut telah mula dilaksanakan pada tahun 2020 secara serentak bagi Tahun 9, 10 dan 11 di kesemua sekolah menengah kerajaan dan swasta dengan peruntukan satu waktu iaitu 25 hingga 30 minit seminggu dengan menggunakan kurikulum peralihan. 

    Program tersebut kemudian dilaksanakan secara berperingkat sebagai satu mata pelajaran berasingan yang dikenali sebagai mata pelajaran Al-Quran dengan menggunakan sukatan pelajaran tetap bermula tahun 2021 iaitu bagi pelajar Tahun 9. 

    Sukatan pelajaran tetap bagi mata pelajaran Al-Quran diteruskan pelaksanaannya bagi pelajar Tahun 10 pada tahun ini dan akan dilaratkan kepada Tahun 11 pada tahun 2023.

    Antara ketua-ketua guru agama dan ketua-ketua jabatan serta guru-guru mata pelajaran Al-Quran Tahun 9 dan 10 dari semua institusi menengah, maktab kerajaan dan swasta seluruh negara yang menghadiri taklimat tersebut.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...