Taklimat tunjuk tatacara penggunaan ART

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 11 NOV – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempertingkatkan lagi langkah kewaspadaan dan menjaga kesejahteraan dan keselamatan peniaga serta pengunjung ke tamu dan pasar di seluruh Daerah Belait, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria menerusi Bahagian Perekonomian telah menganjurkan beberapa siri taklimat untuk semua peniaga berhubung dengan penggunaan ujian pantas antigen (ART) COVID-19 pada hari ini di Pasarneka Seria.

Kira-kira 80 peniaga hadir pada taklimat tersebut bertujuan membantu memperkenalkan prosedur dan garis panduan untuk memastikan ujian dijalankan dengan betul.

Hadir untuk menyampaikan taklimat ialah Ketua Bahagian Perekonomian di jabatan berkenaan, Pengiran Ibrahim bin Pengiran Haji Tengah.

Semasa taklimat, peniaga dan pembantu diajar cara-cara menggunakan ART COVID-19 dengan betul oleh Pengiran Ibrahim serta pegawai-pegawai dari Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Menurut Pengiran Ibrahim, ujian tersebut akan diadakan setiap minggu, dengan pegawai dari Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria mengunjungi dua pasarneka di bawah kawalan lembaga perbandaran untuk menyelia keputusan yang diperoleh menerusi ART COVID-19, dengan sebarang keputusan positif akan diberikan slip khas bagi ujian lanjut menggunakan ujian swab polymerase chain reaction (PCR) di pusat-pusat yang telah ditetapkan.

Sebelum ini, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria juga mengadakan taklimat yang sama untuk peniaga dan pembantu gerai di pasarneka Kuala Belait pada 8 November lalu.

Dengan taklimat dan ujian diadakan untuk minggu itu, Lembaga Perbandaran Kuala Belait dan Seria akan terus memantau situasi semasa bagi menjamin keselamatan kesemua penjual dan pengunjung. Lembaga perbandaran menggesa semua yang terbabit supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Salah seorang pegawai dari Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria membimbing hadirin mengenai penggunaan ART COVID-19.
Pengiran Ibrahim semasa menyampaikan taklimat pada acara tersebut.