Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Takoyaki jadi kegemaran masyarakat kitani

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Takoyaki atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai Bebola Sotong merupakan makanan berasal dari negara matahari terbit, Jepun yang menjadi kesukaan ramai orang daripada golongan kanak-kanak, dewasa dan orang tua.

    Pada mula ia diperkenalkan, inti takoyaki tersebut kebiasaannya adalah daripada sotong namun seiring berjalannya waktu, inovasi rasa telah dicipta oleh para pengusaha bagi memenuhi kehendak pelanggan yang sehingga kini takoyaki dapat dinikmati dengan pelbagai perisa dan inti.

    Antara yang menjadi kegemaran ramai ialah takoyaki tuna, takoyaki sosej, takoyaki ketam, takoyaki udang dan sebagainya di samping perisa topping tambahan lainnya seperti keju, rumpai laut, wasabi dan bermacam-macam lagi aneka pilihan rasa yang menarik.

    Kebiasaannya, takoyaki dipasarkan dengan harga serendah $1 bagi enam biji hingga $1 bagi dua biji di beberapa tempat yang boleh didapati di negara ini.

    Walau bagaimanapun, segelintir orang lebih gemar untuk membuatnya sendiri di dapur masing-masing agar dapat memberikan kepuasan kepada ahli keluarga dan diri sendiri. 

    Takoyaki yang telah siap dimasak topping mayones dan rumpai laut.

    Proses pembuatannya bukanlah suatu perkara yang rumit memandangkan bahan yang diperlukan juga tidak begitu banyak dan tidak sukar untuk dicari.

    Sekiranya di dapur mempunyai telur, tepung gandum, tepung jagung dan stok ayam maka sudah boleh membuatnya.

    Namun acuan memasak takoyaki berbentuk bulat juga diperlukan bagi memastikannya dapat dibentuk menjadi bebola.

    Sementara itu, topping pula memerlukan bonito flakes di samping mayones dan sos pekat takoyaki.

    Fungsi bonito flakes tersebut adalah bagi menambahkan aroma takoyaki seperti yang boleh dinikmati di restoran-restoran dan pasar raya. 

    Bahannya yang mudah dan murah menjadikan takoyaki sebagai salah satu perniagaan makanan yang kini banyak dilakukan oleh para pengusaha muda, belia yang menjalankan perniagaan dari rumah masing-masing.

    Penggunaan teknologi dan media sosial menjadi medium yang sungguh berharga bagi membantu mereka memasarkan perniagaan makanan kecil-kecilan kepada para pelanggan.

    Tidak kurang juga pengusaha makanan Jepun ini ada yang mampu meraih keuntungan sehingga ribuan ringgit setiap bulan hanya dengan berniaga takoyaki dari rumah sendiri tanpa perlu membayar sewa tempat berjual dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...