BAU, 10 Ogos – Taktik licik seorang ahi perniagaan menjual dadah jenis syabu di daerah ini di sebalik beberapa perniagaan dimilikinya akhirnya terbongkar.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol berkata suspek berumur 20an itu memiliki kolam ikan dan kedai runcit serta sebuah bengkel kereta dipercayai aktif menjalankan kegiatan menjual dadah sejak setahun lalu, selain untuk kegunaan sendiri.
“Pada Rabu (8 Ogos) kira-kira 10.45 malam, bertindak hasil maklumat awam dan risikan sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Segong. Hasil serbuan itu polis menjumpai ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 50.81 gram, bernilai kira-kira RM10,000.
“Polis turut menahan dua suspek, seorang wanita berumur 20an dipercayai teman wanita suspek serta ibu suspek yang berumur 40an. Suspek, bagaimanapun tiada di rumah ketika serbuan dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, di sini hari ini. Mohd Sabri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil ujian air kencing terhadap teman wanita suspek didapati positif dadah manakala ibunya negatif. Kedua-dua mereka direman tujuh hari bermula semalam (9 Ogos).
“Polis turut merampas dua kereta, rantai emas, satu rantai silver, tiga utas jam tangan, sebentuk cincin serta wang tunai RM1,000, semuanya dianggarkan bernilai RM108,050,” katanya. – Bernama