MANCHESTER, 14 Jan – Pep Guardiola percaya cara permainannya semakin diterima dalam bola sepak Inggeris selepas dia mengalami musim pertama yang sukar bersama Manchester City.
Guardiola berpuas hati menyaksikan pengawalan bola tinggi, memberi tekanan dan intensiti yang tinggi semakin popular di Liga Perdana dan memuji cara permainan Liverpool dan Tottenham.
Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich menyaksikan cara permainannya dipersoalkan di mana pengurus dari Sepanyol itu bergelut untuk memberikan impak awal di Stadium Etihad sekali gus mengalami musim pertama tanpa trofi buat pertama kali dalam kariernya dan menyaksikan City mengakhiri musim menduduki tempat ketiga liga.
Transformasi musim ini sangat menakjubkan di mana City hanya kehilangan empat mata sahaja dalam 22 perlawanan liga sekali gus menjadi pilihan utama untuk memperolehi trofi musim ini.
Selepas berdepan dengan cara permainannya yang tidak sesuai di England, Guardiola berpuas hati untuk membuktikan kepada pengkritiknya dan dia mahukan pasukan lain bermain seperti cara yang dipraktikannya.

“Saya teruja kerana lebih daripada seorang pengurus, saya seorang peminat. Apabila saya ingin membuat pilihan, pasukan itulah yang saya ingin saksikan,” kata Guardiola.
“Barcelona, saya gemar menyaksikannya, kerana saya seorang peminat kelab itu. Saya membesar di sana dan terutama kami dapat menyaksikan pemain-pemain bagus, terutama sekali Lionel Messi.
“Saya gembira bahawa di Itali, Napoli beraksi hampir dengan cara yang sama. Saya melihat bagaimana mereka beraksi dan bagaimana mereka mahu melakukan sesuatu.
“Sama juga dengan Tottenham. Tottenham kehilangan mata tetapi apabila saya menyaksikan perlawanan mereka dan berfikir: ‘Mereka beraksi dengan baik’. Anda boleh menyaksikan mereka mencipta 20, 25, 27 cubaan tepat. Anda melihatnya dan berkata: Wow.”
Sementara itu, Guardiola memasukan Liverpool dalam senarai pasukan serangan berkualiti tinggi dalam Liga Perdana.
“Saya rasa Liverpool beraksi seperti Liverpool di masa lalu, dengan sejarah mereka,” kata Guardiola.
“Peminat mahukan taktik bola sepak menyerang. Liverpool perlu mempertahankan sejarah mereka.
“Pada tahun 1980, mereka menguasai bola sepak dunia. Saya rasa mereka cuba untuk menghormatinya.
“Dalam bola sepak, apa pun boleh terjadi. Sudah pasti kami boleh kehilangan gelaran juara kerana anda tidak tahu apa yang akan terjadi dalam 13 atau 14 perlawanan seterusnya. – AFP