Taktik ‘ikan’ cuba kaburi kegiatan dadah terbongkar

Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Taktik ‘ikan’ iaitu menggunakan aktiviti penangkapan dan penjualan ikan di samping menjalankan pengedaran dadah haram yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa berjaya dibongkar oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) melalui Operasi Bulls Eye di empat lokasi berlainan di Daerah Belait pada 2 April lalu.

Dalam operasi itu, 14 orang terdiri daripada 12 orang lelaki dan dua orang perempuan berumur dalam lingkungan 26 sehingga 53 tahun termasuk seorang penduduk tetap dan selebihnya adalah warga tempatan, telah ditahan.

Menurut kenyataan yang diterima hari ini, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dan kediaman mereka menemui 2.3 gram dadah jenis syabu kelas A. Walaupun jumlah dadah tersebut tidak signifikan, namun serbuan bertujuan menumpaskan aktiviti pengedaran dadah rangkaian ‘bisnes keluarga’ berkaitan dengan tangkapan awal operasi yang sama baru-baru ini.

Turut dirampas semasa operasi ini adalah beberapa peralatan untuk menghisap dadah serta beberapa buah telefon bimbit dan tiga buah kereta yang dipercayai adalah hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Tangkapan-tangkapan tersebut masih di dalam siasatan di bawah kesalahan seperti Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar, Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 atas kesalahan pembersihan wang haram, Seksyen 6 (a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal.

Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal, Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal dan Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat.

Sehubungan operasi tangkapan ini, BKN ingin mengingatkan bahawa ia akan terus memburu dan menangkap mana-mana individu yang terlibat dalam jaringan sindiket keluarga pengedar yang tertangkap sebelum ini.

BKN juga memberi amaran kepada orang awam bahawa melibatkan diri atau atau tindakan melindungi mana-mana individu-individu yang terlibat dalam jenayah ini adalah salah di sisi undang-undang dan juga boleh didakwa di mahkamah bersama-sama suspek-suspek yang terlibat.

Salah sebuah kereta dan peralatan menghisap dadah (gambar sisipan) yang dirampas dalam operasi tersebut.

Antara barangan-barangan dirampas BKN dalam operasi itu.