Thursday, October 10, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taktik laman cari jodoh, pekerjaan berakhir penipuan

    MANILA – Ia bermula dengan serbuan ke atas pusat perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh warga China di utara Manila di mana beratus-ratus warga asing dan Filipina terpaksa menjalankan penipuan atau berisiko diseksa.

    Kemudian datang dakwaan bahawa datuk bandar tempatan terlibat dalam operasi haram itu, dan bahawa dia adalah warga China yang menyamar sebagai warga Filipina.

    Skandal itu mengejutkan negara dan mencetuskan desakan agar kerajaan Filipina mengharamkan industri perjudian dalam talian berhubung kaitannya dengan penipuan kewangan, penculikan, pelacuran, pemerdagangan manusia, penyeksaan dan pembunuhan.

    Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mengharamkan sektor itu baru-baru ini, berkata, “penderaan berat dan tidak menghormati sistem undang-undang kita mesti dihentikan,” dan pekerja asing yang terlibat telah diberi masa dua bulan untuk meninggalkan Filipina.

    Pihak berkuasa percaya mungkin terdapat beberapa ratus entiti perjudian dalam talian haram, serta sejumlah besar daripada lebih 40 pengendali berlesen, yang menjalankan pusat penipuan yang tidak disedari oleh pegawai-pegawai awam.

    Bilik di dalam pusat penipuan di Manila yang telah ditutup oleh polis. – AFP
    Seorang lelaki menghantar makanan di bilik tahanan pusat penipuan di Manila yang telah ditutup oleh polis. – AFP
    Seorang wanita membersihkan lorong pusat penipuan tersebut. – AFP
    Poster Datuk Bandar Bamban, Alice Leal Guo di Bamban, wilayah Tarlac. – AFP
    Seorang pegawai polis yang mengawal pintu masuk pusat penipuan berkenaan. – AFP

    Alice Leal Guo, Datuk bandar Bamban, di mana pusat penipuan yang diserbu terletak beberapa meter dari dewan perbandaran, telah dituduh melakukan pemerdagangan manusia dan penggubahan wang haram berhubung dengan operasi itu.

    Guo telah digantung kerjanya dan sedang bersembunyi selepas waran dikeluarkan untuk penahanannya. Dia telah menafikan dakwaan terhadapnya.

    “Nampaknya Alice Guo hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah itu,” kata Senator Risa Hontiveros kepada jawatankuasa Senat yang menyiasat industri perjudian dalam talian.

    “Perbicaraan jawatankuasa ini sedang dalam proses untuk mendedahkan rangkaian pelaku jahat yang mendalam dan memautkan melibatkan sindiket jenayah antarabangsa, ahli politik tempatan dan negara, dan mungkin unsur jahat negara asing.”

    Kompleks Bamban yang luas itu, yang dikendalikan oleh warga China dan termasuk bangunan pejabat, vila mewah dan kolam renang yang besar, diserbu pada Mac lalu selepas seorang pekerja Vietnam melarikan diri dan menghubungi polis.

    Lebih 700 warga Filipina, China, Vietnam, Malaysia, Taiwan, Indonesia dan Rwanda ditemui di lokasi, bersama dengan dokumen yang didakwa menunjukkan bahawa Guo adalah presiden sebuah syarikat yang memiliki kawasan itu.

    “Dia sememangnya perlu menjawab perkara ini di penjara,” kata Winston Casio, jurucakap Suruhanjaya Presiden Anti-Jenayah Terancang (PAOCC).

    KEPALA PERLU DIGUGURKAN

    Pusat penipuan telah berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara, dengan sindiket jenayah memikat, menculik atau memaksa pekerja terlibat aktiviti dalam talian pemangsa, dan mengaut berbilion dolar.

    Mangsa telah melaporkan melancong ke seluruh rantau, selalunya atas alasan percintaan atau pekerjaan bergaji tinggi tetapi mendapati diri mereka terpaksa memujuk orang ramai supaya menyalurkan wang ke platform pelaburan palsu dan muslihat lain.

    Di Filipina, pusat penipuan sering menyamar sebagai operasi perjudian dalam talian, yang kebanyakannya dikendalikan oleh warga China dan menyasarkan orang di luar negara.

    Angka rasmi menunjukkan lebih 60,000 warga asing dan Filipina bekerja untuk syarikat perjudian dalam talian berlesen. Casio menganggarkan sebanyak 100,000 boleh diambil bekerja oleh mereka yang menyalahi undang-undang.

    Mereka berkembang di bawah pemerintahan bekas presiden terdahulu selepas pengawal selia kerajaan diberi hak untuk mengeluarkan lesen operasi di seluruh negara.

    Ramai kehilangan lesen mereka pada 2023 dan mula beroperasi secara rahsia. Pihak berkuasa kini berlumba-lumba untuk memberhentikan mereka semua.

    Lima pusat telah diserbu sejak tahun lepas, dengan beberapa ribu warga asing dihantar pulang, diusir atau didakwa, Casio memberitahu AFP di pejabatnya di dalam salah satu pusat penipuan yang menjadi sasaran.

    Casio berkata ‘kepala perlu digugurkan’ dalam kalangan pegawai awam, termasuk datuk bandar dan ketua polis, yang telah membenarkan pusat penipuan beroperasi secara terang-terangan itu.

    “Jika kita tidak mula membawa orang ke mahkamah, jika kita tidak mula meminta orang-orang ini menghabiskan masa di penjara, maka kita tidak akan menamatkan masalah ini,” kata Casio.

    TIDAK MAHU MENIPU

    Di dalam perkarangan Bamban, mangsa terlibat dalam penipuan dalam talian di bawah ancaman kecederaan fizikal atau hukuman lain.

    Dylan, seorang warga Malaysia berusia 20an, bekerja di sana selama sebulan selepas seorang rakan memperdayanya untuk melawat kompleks itu.

    Sebaik sahaja di dalam, Dylan berkata dia tidak dibenarkan keluar. Dia mengesyaki bahawa rakannya menjualnya kepada bos Cina sebagai pertukaran untuk kebebasannya sendiri.

    Dylan, yang menggunakan nama samaran untuk temu bual dengan AFP kerana dia seorang saksi yang memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, berkata dia dipaksa menggunakan laman web mencari jodoh Cina untuk menghubungi ibu bapa yang mencari suami untuk anak perempuan mereka.

    Selepas dia diperkenalkan dengan wanita itu, dia akan cuba meyakinkannya untuk melabur dalam syarikat minyak China di Dubai yang palsu.

    Penipu dijangka mencapai sasaran bulanan sebanyak AS$41,200 atau berisiko diseksa, katanya.

    Mereka menerima komisen 10 peratus tetapi tiada gaji dan terpaksa bekerja sekurang-kurangnya 12 jam sehari, tujuh hari seminggu.

    Dylan berkata dia pernah dipukul sekali dan diancam nyawanya.

    “Saya tidak mahu menipu, saya hanya mahu terus hidup, buat kerja saya setiap hari,” kata Dylan kepada AFP di pejabat PAOCC tempat dia ditahan.

    WARGA FILIPINA PALSU

    Kewarganegaraan Guo telah menjadi tumpuan utama siasatan Senat, yang terjadi ketika hubungan antara Manila dan Beijing semakin teruk berikutan pertikaian di Laut China Selatan.

    Biro Siasatan Kebangsaan memberitahu siasatan itu bahawa cap jari Guo sepadan dengan cap jari seorang warga China yang telah diberikan visa pemastautin pelabur khas bersama ibunya yang berbangsa Cina.

    “Ini mengesahkan apa yang saya syak selama ini. Datuk Bandar Alice adalah warga Filipina palsu,” kata Hontiveros dalam satu kenyataan.

    “Dia warga China yang menyamar sebagai warga Filipina untuk memudahkan jenayah dilakukan oleh POGO (operasi perjudian dalam talian).”

    Pihak berkuasa telah membekukan aset milik Guo dan lain-lain yang dikaitkan dengan pusat penipuan itu, termasuk 90 akaun bank, hartanah, kenderaan mewah dan sebuah helikopter.

    Casio bimbang Guo mungkin cuba mengelak daripada ditangkap dengan menukar penampilannya di salah sebuah hospital rahsia yang ditubuhkan oleh pusat penipuan untuk merawat pekerja mereka.

    Serbuan baru-baru ini ke atas kemudahan perubatan haram menemui peralatan yang digunakan untuk pembedahan kosmetik.

    “Awda pada dasarnya boleh masuk ke sana dan keluar sebagai orang yang benar-benar baru,” kata Casio.

    “Begitulah canggihnya operasi itu.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda