Takwa dasar terbaik capai kejayaan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Gambar Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Takwa merupakan satu dasar terbaik yang boleh dijadikan landasan untuk mencapai kejayaan dan dengan takwa, ia mampu menjadikan perjalanan hidup terjamin, lurus dan adil termasuk langkah menjana Wawasan Brunei 2035.

Di bawah dasar takwa inilah, kebajikan rakyat dan penduduk diutamakan, siasah takwa dapat memperkukuhkan umat dan menjamin keharmonian antara kaum.

Dasar takwa itu ditekankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 kelmarin yang disiarkan secara langsung dari Istana Nurul Iman.

Meskipun tahun ini tema sambutan Hari Kebangsaan ialah ‘Menjayakan Wawasan Negara, namun wawasan sahaja tidak memadai dan apa yang penting dasar takwa inilah akan menentukan arah kepada satu matlamat atau tujuan yang hendak dicapai, tegas Baginda.

Baginda seterusnya menekankan, dalam ekonomi dasar takwa juga menjamin kesucian iaitu menjana rezeki daripada sumber yang halal dan bukan daripada sumber yang haram.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Hari Kebangsaan ke-36 Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

“Dasar ini melarang keras menipu atau memberi dan menerima rasuah, pendeknya dasar ekonomi takwa sama sekali tidak menganiaya mana-mana pihak,” tegas Baginda.

Baginda bertitah sesebuah negara yang dihuni manusia ahli takwa, Allah pasti menurunkan berkat dari langit dan mengeluarkannya dari bumi.

Ini kerana siasah takwa mampu memperkukuh perpaduan umat dan menjamin keharmonian antara kaum. Manakala mereka yang berada di luar lingkungan pula, akan kekal menikmati hubungan berbaik-baik, atas dasar hormat-menghormati dan tidak mencampuri urusan masing-masing.

“Kita sekarang dalam rangka memperkasa masyarakat dan institusi kekeluargaan dan di sinilah ia mampu untuk menjamin golongan tertentu supaya mendapat pembelaan dan perlindungan,” tegas Baginda.

Maka melalui Program Pelan Membasmi Kemiskinan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), negara telah pun merangka inisiatif-inisiatif pemerkasaan sara diri bagi golongan sasaran.

“Langkah ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk golongan tertentu mendapatkan pekerjaan atau bergiat dalam bidang keusahawanan yang sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan,” titah Baginda lagi.

“Ini juga mendukung konsep takwa yang menggalakkan umat Islam supaya berdikari dengan titik peluh sendiri.

Baginda turut memberi jaminan bahawa negara tetap mengambil tanggungjawab untuk mengusahakan pelbagai kemudahan bagi kebajikan rakyat di mana dalam sedikit masa lagi kerajaan akan melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan membolehkan pemohon bantuan untuk membuat permohonan secara atas talian (online).

“Apa pun rancangan dan perubahan banyak bergantung kepada sumber tenaga manusia dan ini tidak syak lagi adalah aset terpenting negara kerana merekalah akan berusah untuk mencorakkan kehidupan selaras dengan keperluan” tegas Baginda.

Sumber tenaga yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi amat dihajati bagi tujuan membawa perubahan dan sekarang satu projek raksasa jambatan penghubung di antara Daerah Brunei Muara dan Temburong sedang menunggu masa untuk dibuka.

Di sini kita boleh belajar, tegas Baginda, tanpa sumber tenaga berkemahiran projek ini tidak mungkin menjadi kenyataan dan itulah pentingnya untuk melakar pendidikan tinggi untuk melahirkan sumber tenaga yang berkemahiran.

Di akhir titah Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli jawatankuasa yang sama-sama berusaha menjayakan sambutan perayaan ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-36 tahun ini.

Baginda turut melahirkan penghargaan yang sama kepada semua lapisan rakyat meliputi semua peringkat warga perkhidmatan awam termasuk mereka yang bertugas di luar negara, pasukan keselamatan serta mereka yang khidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah.