Utus takziah kepada UK

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja dan juga kerajaan serta rakyat Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar titah-titah perutusan takziah kepada United Kingdom (UK).

Titah-titah perutusan takziah itu ditujukan khas kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II of the United Kingdom of Great Britain and Nothern Ireland dan Perdana Menteri United Kingdom, Tuan Yang Terutama The Rt Hons Boris Johnson MP berikutan dengan kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Putera Philip, Duke of Edinburg pada 9 April.

Dalam titah perutusan berkenaan Baginda berdua berserta kerabat diraja, kerajaan dan rakyat negara ini menzahirkan rasa simpati yang amat mendalam berikutan kemangkatan DYTM Putera Philip.

Baginda masih ingat pertemuan terakhir dengan DYTM Putera Philip semasa Majlis Persantapan Tengah hari Diraja Jubli Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II di Windsor Castle pada tahun 2012, di mana Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha sangat menghargai persahabatan yang erat lagi mesra dengan DYTM Putera Philip dan Baginda berdua akan sentiasa mengenang pertemuan dan perbualan dengan Duli Yang Teramat Mulia.

DYTM Putera Philip akan sentiasa dikenang menerusi kerjanya yang banyak menyentuh kehidupan, khususnya the Duke of Edinburgh’s International Award yang memberi dorongan kepada ramai golongan belia di serata dunia termasuk Negara Brunei Darussalam.

Bagi mengakhiri perutusan berkenan, sekali lagi Baginda berdua dan kerabat diraja serta rakyat menzahirkan takziah yang amat mendalam kepada Baginda Queen Elizabeth II dan seluruh kerabat diraja dalam tempoh kehilangan besar dan berkabung ini.