Oleh Amri HTZ
PERSIAPAN menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang setentunya memberikan perasaan yang girang bagi yang meraikannya setelah berjaya menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Perhiasan rumah yang baharu, perabot, pakaian dan sebagainya mampu memberi keriangan ketika menyambutnya. Selain persiapan untuk diri sendiri, persiapan untuk para tetamu juga perlu diberi perhatian terutama ketika melayan kunjungan mereka dengan menghidangkan jamuan menggunakan talam rekaan sendiri.
Barangan yang diperlukan
Pada projek kali ini, barang-barang yang diperlukan untuk mereka talam yang diperbuat daripada kayu ini ialah kepingan kayu terpakai (palet), gam kayu, mesin ketam kayu, pengepit kayu, pen penanda, pahat kayu, kertas pasir, mesin gergaji, mesin gerudi, wood file, wood filler, pita perekat dan cat.
Langkah-langkah penting proses pembuatan
Pada langkah pertama pembuatan, bersihkan kayu-kayu yang terpakai tersebut daripada sebarang paku dan sebagainya. Objek-objek asing selain daripada kayu mampu merosakkan mata mesin yang digunakan ketika mengendalikannya. Setelah pasti ia bersih daripada besi, ratakan keseluruhan permukaan papan palet menggunakan mesin ketam. Pastikan permukaan sisi papan juga diratakan bagi memastikan proses mencantumkannya nanti mudah.
Papan-papan yang telah diketam ini akan potong dengan ukuran yang sama iaitu 14 inci. Enam keping papan diperlukan (dengan ukuran standard papan palet) diperlukan pada langkah ini yang akan menghasilkan lebar papan 23 inci. Papan-papan ini akan dicantumkan menggunakan gam kayu pada bahagian sisinya dan perlu diberikan tekanan menggunakan pengepit kayu. Pastikan anda memberikan cukup tekanan ke atasnya agar ia cukup kukuh apabila ia digunakan nanti.


Sementara menunggu gam mengering, anda boleh beralih ke langkah seterunya untuk membuat rangka talam tersebut. Papan palet yang akan digunakan juga akan melalui proses yang sama dengan meratakan permukaannya menggunakan mesin ketam.
Langkah mengetam permukaan kayu ini bukan sahaja mampu meratakan permukaan kayu, bahkan mampu memberikan wajah baru kepada kayu tersebut memandangkan permukaan luarannya yang telah rosak, berubah warna dan sebagainya.
Setelah mengetam permukaannya, potongkan papan tersebut dengan ukuran 24 inci panjang sebanyak dua keping dan 15 inci juga dua keping.
Pada bahagian papan berukuran 15 inci tadi akan ditebuk bahagian tengahnya yang kemudiannya berfungsi sebagai ruang untuk menyelipkan tangan mengangkat talam tersebut. Tandakan menggunakan pen atau pensel dengan ukuran lebih kurang lima inci panjang dan 1 ½ inci lebar. Tebuk bahagian ini menggunakan pahat kayu atau mesin gergaji dengan perlahan-lahan. Lakukan langkah yang sama pada sudut yang satu lagi.
Pada bahagian sudut hujung lubang yang ditebuk perlu direka dengan reka bentuk separa bulatan. Ini akan menambahkan lagi bentuk yang lebih moden pada rekaan tersebut. Selesai merekanya, ratakan permukaan kasar terhasil daripada proses pemotongan menggunakan wood file atau kertas pasir.



Setelah gam mengering pada bahagian bawah talam, cantumkan kayu-kayu untuk rangka sisi yang telah dihasilkan tadi menggunakan gam kayu. Kendalikan proses mencantumkan ini pada permukaan meja yang rata agar bahagian yang dicantumkan ini tepat pada kedudukannya. Beri tekanan menggunakan pengepit kayu dan biarkan gam mengering selama 24 jam.
Langkah seterusnya adalah meratakan keseluruhan permukaan talam menggunakan kertas pasir setelah gam mengering. Permukaan kayu yang berlubang atau tidak rata, anda perlu menutupinya menggunakan wood filler mengikut warna yang sesuai.
Warna yang akan digunakan pada projek ini merupakan warna dua warna. Permukaan bawah talam akan diwarnakan menggunakan varnis manakala pada bahagian sisi menggunakan warna putih.
Untuk itu, anda perlu melindungi permukaan bawah talam menggunakan pita perekat. Selesai mewarnakan bahagian sisi menggunakan warna yang dipilih, anda boleh membuka semula pita perekat tersebut dan mula mewarnakan bahagian bawah (tengah) talam menggunakan warna yang dipilih.
Setelah cat mengering, kini anda sudah boleh meletakkan hidangan di atasnya untuk dijamu oleh pengunjung yang bertandang beraya. Jika ada di antara mereka ingin mengetahui di mana boleh mendapatkannya, setentunya anda boleh berbangga dengan menyatakannya ia hasil rekaan anda sendiri!