Oleh Raz AS
Tali sulam ataupun braided line merupakan tali yang terawal digunakan untuk memancing. Namun ia bukanlah tali yang sama seperti yang kita kenali pada masa kini, ia hanya tali biasa yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan alami seperti linen yang disulam bersama seperti mana tali-tali lainnya.
Pada awalnya tali nilon, atau juga dikenali sebagai monofilament ataupun lebih dikenali sebagai tangsi dalam masyarakat kitani, yang dicipta pada tahun 1930an digunakan untuk menggantikan penggunaan tali sulam yang dianggap kurang sesuai digunakan untuk memancing.
Namun setelah banyak kajian dijalankan oleh para saintis terhadap bahan-bahan sintetik terhasillah tali sulam yang diperbuat daripada polyethylene, seperti Spectra atau Dyneema, seperti yang kita ketahui sekarang yang nipis dan kuat, yang dianggap sebagai salah satu peralatan pancing yang paling inovatif dalam industri ini sejak beberapa dekad kebelakangan.
Berbanding tali pancing jenis lainnya, seperti monofilament atau fluorocarbon, tali sulam adalah tali pancing yang paling versatil penggunaannya yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi, teknik pancingan dan spesies buruan.
Salah satu kelebihan yang ada pada tali sulam berbanding tali-tali lainnya adalah ketebalan diameternya yang nipis namun mempunyai kekuatan ‘breaking strain’ yang tinggi. Contohnya tali sulam berjenama Daiwa J-Braid X4E berkekuatan 50lb dengan diameter 0.33mm adalah sama tebalnya dengan monofilament atau fluorocarbon biasa yang hanya mempunyai kekuatan 12lb sahaja.

Diameternya yang kecil itu bukan sahaja akan memberikan pemancing kelebihan untuk mengisikan tali dengan lebih banyak ke dalam spool, bahkan ia juga, ditambah dengan sifatnya yang lebih lembut dan tiada memori berbanding tali-tali lain dapat membantu meningkatkan kejauhan lontaran.
Antara kelebihan lainnya, tali sulam mempunyai sifat regangan menjadikan ia sangat sensitif yang membolehkan pemancing mengesan getuan ikan dengan lebih mudah, selain itu, ia juga membantu pemancing mendapatkan solid hook up meski pada spesies-spesies ikan yang mempunyai mulut yang keras.
Selain itu tali ini juga lebih tahan lama berbanding tali lainnya daripada rosak akibat terdedah kepada cahaya matahari dan air masin. Manakala ia juga tahan lelasan (abrasion), dan dengan menggunakan ikatan yang bersesuaian, kekuatan pada ikatannya juga adalah lebih baik.
Meskipun mempunyai banyak kelebihan dan versatil namun ia juga mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diambil perhatian.
Pertama sekali, meskipun kekurangan regangannya menjadi faktor positif dalam pelbagai teknik pancingan namun tali sulam tidak begitu sesuai digunakan untuk tujuan menunda atau trolling. Ini kerana mulut ikan boleh sahaja terkoyak kerana ketiadaan serapan sentakan. Lebih teruk lagi ia boleh menyebabkan tali terputus atau risiko joran patah.
Kedua, tali sulam lebih kelihatan di dalam air dan berkemungkinan dapat menakutkan ikan yang sensitif. Walau bagaimanapun kedua-dua kekurangannya ini dapat diatasi dengan menyambungkan tali perambut daripada jenis monofilament atau fluorocarbon, yang berfungsi sebagai shock leader dan pendekatan yang lebih ‘halimunan’.
Ketiga, kerana kelembutan dan permukaannya yang licin tali sulam lebih sukar untuk diikat dan memerlukan teknik ikatan yang bersesuaian bagi mengelakkan masalah ikatan terlucut. Dan kebanyakan teknik-teknik ikatan tersebut contohnya bagi tujuan menyambungkan tali sulam dengan perambut adalah sedikit rumit dan memerlukan latihan untuk menguasainya.
Akhir sekali, adalah tanda harganya. Kerana proses pembuatan tali sulam menggunakan teknik yang rumit dan bahan yang lebih mahal, tentu sahaja harganya jauh lebih mahal berbanding monofilament dan flourocarbon.
Dalam pemilihan tali sulam pula, ia terpulang kepada pemancing mengikut kesesuaian masing-masing. Secara amnya tali sulam didatangkan dalam jenis 4 strand atau 8 dan lebih. Semakin banyak tali yang disulamkan untuk menghasilkannya lebih lembut, bulat dan halus permukaannya.
Bagi tali sulam yang hanya mempunyai 4 strand, bentuknya lebih leper dan permukaannya lebih kasar. Kebiasaannya tali sulam 4 strand digunakan di kawasan yang mempunyai banyak rumpai kerana ia lebih mudah membelah tumbuhan. Manakala 8 strand ke atas pula lebih banyak digunakan di kawasan perairan yang lebih terbuka.