Talian 123: Panggilan perkhidmatan JPD melonjak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Penerimaan panggilan bagi perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) menerusi Talian Darussalam (TD123) telah menunjukkan peningkatan yang ketara daripada anggaran 500 hingga 1,000 panggilan sebulan kepada 17,000 pada Ogos dan 27,000 panggilan pada September lalu.

Timbalan Setiausaha Tetap (Info Komunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim berkata, dalam hal ini, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan akan terus memantau mengenai status kedudukan panggilan-panggilan tersebut dan dengan penambahan kapasiti 29 ejen pusat panggilan pada hari ini, ia akan dapat membantu melicinkan proses penerimaan aduan dan maklum balas daripada orang ramai.

Menurut beliau, kaunter-kaunter perkhidmatan JPD masih belum beroperasi oleh itu orang ramai disarankan untuk menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan yang disediakan secara dalam talian melalui portal Gov.bn. 

“Selain perkhidmatan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan, perkhidmatan-perkhidmatan lain yang juga disediakan ialah seperti memohon pekerjaan dalam sektor kerajaan melalui portal PSC Recruitment atau sektor swasta melalui Job Centre Brunei, mengundi calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung (PMKK) melalui e-Undi PMKK, dan banyak lagi.

“Perkhidmatan-perkhidmatan ini bolehlah diakses melalui akaun e-Darussalam,” tambah beliau semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan dan Info Komunikasi, hari ini.