Talian bantu isu aplikasi BruHealth

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Dengan matlamat untuk memberikan kemudahan serta bantuan dalam pengendalian sebarang isu berkaitan dengan aplikasi BruHealth, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD) mengaktifkan Talian Bantuan BruHealth (BruHealth Helpline) yang beroperasi setiap hari bermula 16 Jun, dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, talian itu bertujuan sebagai tambahan kepada Talian Nasihat Kesihatan 148 dalam memberikan bantuan dan mengendalikan sebarang isu berkaitan dengan aplikasi BruHealth serta menunjuk ajar kepada pengguna aplikasi BruHealth.

Nombor-nombor Talian Bantuan BruHealth yang dikendalikan oleh PBSM NBD ialah bagi menangani isu berkaitan dengan rayuan di talian 8145923, 8143293 dan 8142650, bagi menangani isu berkaitan dengan teknikal di talian 8142691 dan Pasukan Bergerak PBSM BruHealth di talian 8856564. Kenyataan menyatakan lagi bahawa orang ramai hendaklah membuat tempahan awal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Pasukan Bergerak PBSM BruHealth dapat mengunjungi mereka untuk memberikan khidmat bantuan.

Selain meja bantuan di Rimba Point dan Kompleks Yayasan, talian BruHealth juga disediakan. – Gambar oleh Muiz Matdani