KABUL, 7 OKT – Taliban telah membebaskan tiga jurutera India yang diculik di Afghanistan tahun lalu, sumber Taliban memberitahu AFP hari ini, sebagai sebahagian daripada pertukaran banduan yang menyaksikan 11 pemberontak dibebaskan.
Pada Mei 2018, Taliban telah menculik enam jurutera India yang bekerja dalam projek loji tenaga di Baghlan di utara Afghanistan, bersama pemandu Afghanistan mereka.
Para pegawai Taliban di beberapa lokasi memberitahu AFP bahawa tiga jurutera telah dibebaskan di wilayah Baghlan kelmarin. Manakala keberadaan yang lain tidak jelas.
Butiran tentang pertukaran itu dan siapa menyelarasnya, juga tidak jelas, dengan kerajaan Afghanistan, kedutaan India di Kabul dan tentera AS di Afghanistan enggan memberi komen.
Sebagai balasan pembebasan warga India itu, 11 anggota Taliban juga dibebaskan dari penjara di Bagram, bekas kemudahan AS yang kini diuruskan oleh pihak berkuasa Afghanistan. – AFP


































