Taliban bersorak ketika Biden pertahan pengunduran AS

KABUL, 1 SEPT – Taliban hari ini mempamerkan aset tentera Amerika Syarikat (AS) yang dirampas dalam perarakan meraikan kemenangan mereka mengambil alih Afghanistan, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mempertahankan keputusannya untuk menamatkan perang dua dekad.

Pejuang Islamis itu meraikan pengunduran terakhir tentera AS pada Isnin sebagai satu kemenangan bersejarah selepas menakluki Afghanistan bulan lalu susulan serangan selama dua minggu.

Hari ini, barisan panjang kenderaan Humvee hijau dan kereta berperisai dipandu di sepanjang lebuh raya di luar Kandahar – tempat kelahiran pergerakan militan itu – dengan kebanyakannya dipasang bendera hitam putih Taliban, kata jurnalis AFP.

Dalam rakaman yang disiarkan oleh akaun penyokong Taliban, sebuah helikopter terbang di ruang udara dengan pejuang yang memakai serban melambai di bawah.

Pejuang Taliban mengawal trak pelbagai guna digunakan AS, NATO dan tentera Afghanistan ketika perang selama 20 tahun di negara itu dan selebihnya menaiki kenderaan lain di Ayno Maina, pekan di pinggir bandar berkenaan.

Sebuah helikopter Black Hawk dilihat terbang di ruang udara Kandahar sejak beberapa hari lalu, mencadangkan seorang bekas tentera Afghanistan mengawalnya kerana Taliban kekurangan juruterbang berkelayakan. – AFP

Penyokong Taliban berkumpul untuk meraikan pengunduran kesemua tentera AS dari Afghanistan di Kandahar pada 1 September. – AFP