Taliban bertemu utusan AS 

ISLAMABAD, 4 OKT – Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi, mengesahkan pemimpin Taliban akan bertemu utusan keamanan Amerika Syarikat (AS) Zalmay Khalilzad di Islamabad.

“Wakil Taliban Afghanistan berada di sini di Islamabad tetapi mereka akan bertemu Zalmay Khalilzad,” kata Qureshi kepada Hum News semalam, lapor agensi berita Anadolu.

Tiada cara lain kecuali mengadakan dialog untuk mengembalikan keamanan yang berkekalan di Afghanistan dan rantau ini, katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran mengenai masa pertemuan itu.

Seorang pegawai kanan Kementerian Luar yang enggan dikenali berkata pertemuan itu dijangka diadakan hari ini selepas solat Jumaat atau pagi Sabtu.

Delegasi 12 anggota dari pejabat politik Taliban Afghanistan di Doha tiba di Islamabad malam Rabu atas  undangan pemerintah Pakistan.

Ia merupakan kunjungan pertama delegasi itu sejak menubuhkan pejabat politik di Qatar pada 2013.

Khalilzad, perunding perdamaian AS bersama delegasinya  tiba di Islamabad pada Selasa.

Semalam, delegasi Taliban melawat Kementerian Luar Pakistan dan bertemu dengan Qureshi dan beberapa pegawai kanan lain. – Bernama

Gambar yang dikeluarkan oleh Pejabat Luar Negeri, Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi (tengah) menerima anggota perwakilan Taliban di Pejabat Luar Negeri di Islamabad, Pakistan pada 3 Oktober. – AP