Taliban: China kekalkan kedutaan di Kabul

ANKARA, 3 SEPT – China akan “mengekalkan” kedutaannya di ibu negara Afghanistan Kabul, kata Taliban pada Khamis.

Pengumuman itu dibuat selepas perbualan telefon antara Timbalan  Pengarah Pejabat Politik Taliban di Doha, Qatar, Abdul Salam Hanafi dengan Timbalan Menteri Luar China Wu Jianghao, kata jurucakap Taliban, Suhail Shaheen. “Kedua-dua pihak membincangkan situasi semasa dalam negara dan hubungan masa depan,” kata Shaheen seperti yang dilaporkan oleh Agensi Anadolu. “Hubungan kami akan meningkat berbanding sebelum ini,” katanya, sambil menambah Afghanistan dapat memainkan peranan penting dalam keamanan dan pembangunan wilayah.

Shaheen berkata, China akan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Afghanistan, terutama untuk rawatan COVID-19. – Bernama