Taliban gesa syarikat penerbangan sambung perkhidmatan

KABUL, 26 SEPT – Taliban menggesa syarikat penerbangan antarabangsa hari ini untuk menyambung semula operasi penerbangan ke Kabul berikutan semua masalah teknikal di lapangan terbang utama negara itu sudah diselesaikan.

Sebelumini, kemudahan di lapangan terbang Kabul rosak teruk ketika pemindahan lebih 120,000 orang pada 30 Ogos lalu susulan penarikan pasukan Amerika Syarikat (AS) yang terakhir.

Sejak itu, hanya penerbangan disewa beroperasi, walaupun Pakistan International Airlines (PIA), Iran Mahan Air dan Kam Air Afghanistan melakukan sejumlah penerbangan khas.

Komuniti antarabangsa mahu Taliban berpegang kepada janji bahawa mereka akan membenarkan sesiapa saja meninggalkan negara itu selepas penerbangan komersial disambung semula.

Ketika ini, syarikat penerbangan seperti PIA dan Kam Air mengenakan bayaran lebih AS$1,200 untuk penerbangan sehala, 40 minit dari Kabul ke Islamabad.

Menurut syarikat penerbangan, walaupun tiket dijual pada harga berkenaan, penerbangan tidak tetap itu sentiasa terlebih langganan oleh penumpang.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri yang baru dilantik, Abdul Qahar Balkhi, menyatakan Taliban berharap perkhidmatan komersial dengan jadual yang tepat akan disambung semula tidak lama lagi. “Ramai warga Afghanistan tersekat di luar dan tidak dapat kembali ke tanah air.

“Lebih-lebih lagi, ramai warga Afghanistan yang memiliki pekerjaan antarabangsa atau melanjutkan pendidikan ke luar negara kini menghadapi kesulitan untuk mencapai destinasi mereka,” katanya.

Perkhidmatan di lapangan terbang Kabul dipulihkan dengan bantuan teknikal dari Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Turki. – AFP