Taliban hampir takluki semula Afghan

KABUL, 12 OGOS – Taliban hari ini menawan sebuah wilayah strategik berhampiran ibu negara Kabul, wilayah ke-10 yang dirampas pemberontak dalam serangan seminggu lamanya di seluruh Afghanistan hanya beberapa minggu sebelum misi tentera Amerika Syarikat di negara itu berakhir.

Merampas Ghazni memutuskan lebuh raya penting menghubungkan ibu negara Afghan dengan wilayah-wilayah di selatan, dengan bandar itu juga diserang sebagai sebahagian daripada usaha pemberontak menawan semula negara selepas 20 tahun serangan AS dan tentera NATO yang menyingkirkan kerajaan Taliban.

Meskipun Kabul sendiri tidak secara langsung di bawah ancaman, kehilangan Ghazni mengukuhkan cengkaman pemberontak Taliban yang dianggarkan kini menawan kira-kira dua pertiga keluasan negara itu ketika beribu-ribu orang melarikan diri dari kediaman mereka.

Penilaian terkini perisikan tentera AS meramalkan Kabul mungkin akan ditawan oleh pemberontak dalam 30 hari dan jika trend semasa kekal, Taliban boleh meraih kawalan penuh ke atas negara itu dalam masa beberapa bulan lagi. Kerajaan Afghan mungkin akhirnya terpaksa mengundur dari ibu negara dan beberapa bandar lain.

Serangan itu menunjukkan keruntuhan mengejutkan angkatan tentera Afghan dan membangkitkan persoalan mengenai ke mana lebih AS$830 bilion digunakan Jabatan Pertahanan AS dalam pertempuran, melatih tentera dan usaha-usaha pembinaan semula – khususnya ketika pemberontak Taliban memandu kereta buatan Amerika, Humvee dan trak pikap dengan M-16 terselit di bahu mereka.

Ia juga membangkitkan kebimbangan Taliban akan kembali memerintah negara itu dan melaksanakan rejim kejam. Angkatan keselamatan dan kerajaan Afghan bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan berulang daripada wartawan mengenai hari-hari pertempuran, sebaliknya mengeluarkan dokumen video yang merendah-rendahkan kemaraan Taliban.

Hari ini, pemberontak menaikkan bendera mereka di bandar Gazni. Mohammad Arif Rahmani, ahli parlimen dari Ghazni mengatakan bandar itu sudah jatuh ke tangan pemberontak. – AP

Bendera Taliban kelihatan berkibar di dataran bandar Ghazni, Afghanistan selepas pertempuran antara Taliban dan angkatan keselamatan yang menyaksikan pemberontak berjaya menawan bandar itu. – AP