Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taliban lancar beberapa serangan

    KABUL, 17 Sept – Kumpulan Taliban telah menyerang pangkalan polis dan tentera Afghanistan hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 anggota keselamatan, menurut pegawai Afghanistan.

    Di wilayah barat laut Badghis, lima orang pegawai terkorban, termasuk komander polis sebuah unit rizab, Abdul Hakim dalam satu serangan yang berlaku berhampiran ibu kota wilayah Qala-i-Now.

    Jurucakap Gabenor Badghis, Jamshid Shahabi berkata kira-kira 22 anggota Taliban terbunuh dan 16 yang lain cedera semasa pertempuran senjata di sana.

    Manakala di wilayah utara Baghlan, Taliban melancarkan serangan terhadap pangkalan keselamatan anggota tentera dan polis, mengorbankan tiga anggota tentera dan dua pegawai polis, kata ketua polis wilayah, Ekramuddin Serih.

    Serih berkata empat lagi anggota pasukan keselamatan cedera dalam serangan tersebut, yang berlaku di daerah Baghlani Markazi. “Pangkalan itu berada di bawah kawalan pasukan keselamatan Afghanistan pada masa ini dan bala bantuan juga dihantar ke daerah tersebut,” katanya.

    Ketua polis menambah sekurang-kurangnya 20 anggota Taliban terbunuh dan tercedera dalam pertempuran itu.

    Kumpulan pemberontak tidak mengeluarkan kenyataan mengenai serangan tiu dan tidak ada kumpulan yang segara mengaku bertanggungjawab tetapi Shahabi dan Serih menyalahkan Taliban, yang berada di kedua wilayah tersebut dan sering kali menyerang pasukan keselamatan Afghanistan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda