Taliban lepas tembakan surai bantahan di Kabul

KABUL, 7 SEPT – Taliban bertindak melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan orang ramai yang berkumpul bagi mengadakan demonstrasi anti-Pakistan di ibu negara hari ini, dalam bantahan terbaharu sejak gerakan Islam itu berkuasa bulan lalu.

Demonstrasi kecil dan terpencil diadakan di beberapa bandar termasuk ibu negara Kabul, Herat dan Mazar-i-Sharif. Sekurang-kurangnya 70 orang, kebanyakannya wanita berhimpun di luar kedutaan Pakistan sambil memegang sepanduk dan melaungkan kekecewaan terhadap campur tangan Pakistan yang sudah lama dituduh mempunyai hubungan rapat dengan gerakan Taliban.

Ketua perisik Pakistan, Faiz Hameed yang berada di Kabul sejak hujung minggu lalu, dilaporkan akan diberi taklimat oleh duta besar negaranya tetapi berkemungkinan tidak akan menemui pegawai Taliban.

Pada bantahan itu, kakitangan AFP melihat anggota Taliban melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan orang ramai. Sebelum itu, sekumpulan kecil wanita di bandar utara Mazar-i-Sharif turut berkumpul untuk memprotes mempertahankan hak mereka sambil mendesak supaya penyertaan mereka dibenarkan dalam kerajaan baharu.

Taliban memperoleh kemenangan dalam tempoh singkat pertengahan bulan lalu terhadap tentera bekas kerajaan Afghanistan serta pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS), beralih memerangi pasukan yang mempertahankan Lembah Panjshir yang berbukit.

Ketika pejuang Islam itu mengakui mereka menang, ketua jurucakapnya memberi amaran supaya tiada percubaan menentang pemerintahannya.

“Sesiapa yang cuba memulakan pemberontakan akan diambil tindakan keras. Kami tidak akan membenarkan sesiapapun,” kata Zabihullah Mujahid ketika sidang media di Kabul. – AFP

Pejuang Taliban mengawal bantahan wanita di luar kedutaan Pakistan di Taliban. –AFP