Taliban minta India kekalkan misi diplomatik

NEW DELHI, 20 OGOS – Taliban meminta India mengekalkan misi diplomatiknya di Afghanistan dan berjanji akan memastikan keselamatan misi itu, lapor Sputnik memetik Hindustan Times, hari ini.

Permintaan tidak rasmi itu disuarakan ketua pejabat politik Taliban di Doha, Sher Mohammad Abbas Stanikzai sejurus sebelum India memindahkan sekitar 200 orang, termasuk pegawai diplomatik dan anggota keselamatan pada Isnin dan Selasa.

Kebimbangan New Delhi berikutan pengambilalihan kuasa oleh Taliban pada 15 Ogos lalu.

India bagaimanapun memutuskan untuk tetap membawa rakyatnya keluar dari Afghanistan seperti yang dirancang. – Bernama

Sher Mohammad Abbas Stanikzai bersama rombongan semasa tiba di Moscow untuk mengadakan rundingan dengan Rusia. Taliban meminta India untuk terus mengekalkan misi diplomatiknya di Afghanistan.- AP