Taliban mula bebaskan tahanan

KABUL, 12 APRIL – Taliban mengatakan ia akan membebaskan tahanan pertama dalam perjanjian pertukaran yang tertunda dengan kerajaan Afghanistan – satu perkembangan baharu selepas pemberontak mengadakan perbinca-ngan dengan Kabul minggu lalu.

Pengumuman itu dibuat ketika kebimbangan meningkat bahawa jalan bagi rundingan damai yang rapuh antara kedua-dua pihak dikurangkan dengan meningkatnya perselisihan mengenai pertukaran tahanan, yang dianggap kunci untuk membuka jalan bagi rundingan.

“Hari ini, 20 tahanan Kabul akan dibebaskan,” kata jurucakap Taliban, Suhail Shaheen di Twitter, sambil menambah bahawa kumpulan itu akan diserahkan kepada wakil Palang Merah di bandar Kandahar di selatan.

Terdahulu, Kerajaan Afghanistan telah membebaskan ratusan tahanan Taliban sepanjang minggu lalu, walaupun kumpulan pemberontak menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap kriteria tahanan yang dibebaskan itu.

Washington menandatangani satu perjanjian penting dengan Taliban pada bulan Februari yang menjanjikan penarikan tentera AS dan asing dari Afghanistan pada musim panas akan datang, dengan syarat militan perlu memulakan perbincangan dengan Kabul dan mematuhi jaminan lain. Perjanjian itu memerlukan kerajaan Afghanistan – yang tidak menandatangani perjanjian itu – untuk membebaskan 5,000 tahanan Taliban, dan bagi militan untuk membebaskan 1,000 tawanan pro-kerajaan sebagai pertukaran. – AFP