Taliban sah sertai rundingan keamanan

KABUL, 7 Nov – Taliban akan menghantar perwakilan untuk menghadiri mesyuarat pelbagai hala bulan ini di Rusia berhubung Afghanistan, menurut kumpulan militan itu semalam, tatkala masyarakat antarabangsa me-ningkatkan usaha mereka untuk mengakhiri konflik 17 tahun.

Sabtu lalu, Moscow mengumumkan bahawa ia akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat itu pada 9 November ini bagi membincangkan jalan untuk memulakan rundingan damai antara Kabul dan Taliban.

Dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi media sosial, Taliban berkata ia akan menghantar perwakilan ‘tertingginya’ dari pejabat politiknya di Qatar.

“Persidangan itu bukanlah tentang merundingkan dengan mana-mana pihak tertentu, ia adalah persidangan tentang mengadakan rundingan menyeluruh dalam mencari penyelesaian aman kepada kebingungan Afghan dan mengakhiri pendudukan Amerika Syarikat,” menurut jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid. – AFP