Taliban: Sekatan AS, EU boleh jejas keamanan

KABUL, 13 OKT – Kerajaan baharu Afghanistan, Taliban mengingatkan utusan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bahawa usaha berterusan untuk menekan mereka melalui sekatan akan merosakkan keamanan serta mencetus gelombang ekonomi pelarian.

Pemangku Menteri Luar, Amir Khan Muttaqi memberitahu diplomat Barat dalam rundingan di Doha, bahawa ‘melemahkan kerajaan Afghanistan bukanlah kepentingan sesiapa kerana kesan negatifnya secara langsung akan mempengaruhi dunia dalam sektor keselamatan dan migrasi ekonomi dari negara itu’, menurut satu kenyataan disiarkan semalam.

Taliban menggulingkan bekas pemerintah Afghanistan yang disokong AS pada Ogos lalu selepas konflik sejak dua dekad lalu, selain mengisytiharkan pentadbiran Emiriah Islam yang berdasarkan tafsiran mereka terhadap undang-undang Islam.

Namun, usaha untuk menstabilkan negara itu, yang masih menghadapi serangan daripada kumpulan ekstremis pesaingnya, IS-Khorasan, terganggu oleh sekatan antarabangsa, dengan bank kehabisan wang tunai, sementara penjawat awam pula tidak dibayar gaji.

Menurut kenyataan jurucakapnya, Muttaqi dalam pertemuan di Doha itu menyatakan: “Kami mendesak negara dunia menghentikan sekatan yang ada dan membiarkan bank beroperasi secara normal sehingga kumpulan amal, organisasi dan pemerintah dapat membayar gaji kepada staf mereka dengan simpanan sendiri serta bantuan kewangan antarabangsa,” katanya. – AFP

Anggota delegasi Taliban, Shahabuddin Delawar (kiri), Amir Khan Muttaqi dan Kahirullah Khairkhwa (kanan) semasa bertemu diplomat asing di Doha, Qatar pada 12 Oktober. – AFP