KABUL, 10 NOV – Taliban telah menegah wanita Afghanistan daripada memasuki taman hiburan awam di bandar itu, beberapa bulan selepas mengarahkan akses agar dipisahkan mengikut gender.
Peraturan baharu itu, yang diperkenalkan minggu ini, terus mencengkam wanita daripada terus bebas di tempat awam, selain menegah mereka daripada membuat perjalanan tanpa pengiring lelaki dan diarah memakai tudung atau burka apabila keluar rumah.
Sekolah untuk remaja perempuan juga telah ditutup lebih setahun di seluruh negara itu.
“Selama 15 bulan lalu, kami cuba sedaya upaya untuk mengatur dan menyelesaikannya – malah menetapkan hari-harinya,” kata Mohammad Akif Sadeq Mohajir, jurucakap Kementerian Pencegahan Maksiat dan Penggalakan Kebajikan.
“Namun, di beberapa tempat – sebenarnya, kami perlu katakan di banyak tempat – peraturan telah dilanggar,” katanya kepada AFP lewat kelmarin.
“Ada percampuran (lelaki dan perempuan), hijab tidak dipatuhi, sebab itu keputusan telah diambil buat masa ini.”
Berita itu disambut dengan kekecewaan oleh wanita dan pengusaha taman – yang banyak melabur dalam membangunkan kemudahan itu.
“Tiada sekolah, tiada kerja… sekurang-kurangnya kita perlu ada tempat untuk berseronok,” kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Wahida, sambil melihat anak-anaknya bermain di sebuah taman melalui tingkap sebuah restoran bersebelahan.
“Kami hanya bosan dan bosan berada di rumah sepanjang hari, fikiran kami letih,” ujarnya kepada AFP.
Di meja sebelah, Raihana, 21, yang mengikuti pengajian undang-undang Islam di universiti, berkongsi kekecewaannya selepas tiba di taman itu untuk meluangkan hari bersama adik-beradiknya.
“Kami sangat teruja….kami letih berada di rumah,” katanya.
“Dalam Islam, sudah jelas ia membenarkan untuk pergi keluar dan mengunjungi taman. Apabila awda tidak ada kebebasan di negara sendiri, jadi apakah ertinya untuk tinggal di sini?,” tambahnya.
Beberapa kilometer jauhnya, roda Ferris dan kebanyakan permainan lain di Taman Zazai – yang menawarkan pemandangan menakjubkan – telah dihentikan serta-merta kerana ketiadaan sambutan. – AFP