Taliban tutup berpuluh-puluh klinik

KABUL, 17 JULAI – Taliban menutup berpuluh-puluh kemudahan kesihatan dijalankan oleh kumpulan bantuan Sweden, satu langkah yang menjejaskan beribu-ribu orang terutamanya wanita dan kanak-kanak, menurut kumpulan itu hari ini.

Para doktor dan hospital sering kali menjadi sasaran kedua-dua belah pihak semasa konflik sedekad lamanya di negara itu dan penutupan terbaharu ini susulan satu serbuan oleh pasukan keselamatan Afghan ke atas sebuah klinik minggu lalu yang meragut empat nyawa.

Penutupan menjejaskan wilayah Wardak di barat Kabul di mana Taliban sudah pun menutup 42 daripada 77 kemudahan kesihatan dijalankan oleh Swedish Committee for Afghanistan, menurut kumpulan bantuan itu dalam satu kenyataan.

“Disebabkan penutupan ini, dianggarkan lebih 5,700 pesakit terjejas setiap hari,” tambah kenyataan itu. – AFP