KABUL, 17 OGOS – Taliban mengisytiharkan ‘pengampunan’ ke seluruh Afghanistan hari ini dan menggesa wanita untuk menyertai kerajaan, berusaha untuk meyakinkan rakyat negara itu yang kebimbangan, bahawa kumpulan itu sudah pun berubah setelah kacau bilau sehari mencengkam lapangan terbang ketika orang ramai cuba melarikan diri dari negara itu.
Susulan serangan di seluruh Afghanistan yang menyaksikan banyak bandar-bandar jatuh ke tangan Taliban tanpa pertempuran, Taliban berusaha menampilkan sisi pemerintahan lebih sederhana berbanding pentadbiran kejam dilaksanakan dalam lewat 1990an. Namun ramai rakyat Afghan masih was-was kerana masih teringat pemerintahan ultra konservatif Taliban dahulu.
Meskipun tiada laporan penganiayaan atau pertempuran utama di ibu negara ketika Taliban meronda jalan-jalannya, ramai penduduk kekal di rumah dan masih takut selepas pemberontak mengambil alih, menyaksikan penjara-penjara dikosongkan dan gedung-gedung senjata dijarah. Ramai wanita melahirkan kebimbangan bahawa eksperimen dua dekad Barat bagi menegakkan hak mereka dan membangunkan Afghanistan tidak akan berlaku selepas kemunculan semula Taliban.
Janji pengampunan dibuat oleh Enamullah Samagani, seorang ahli suruhanjaya budaya Taliban, yang pertama mengulas bagaimana Taliban akan memerintah di peringkat kebangsaan. Kenyataannya bagaimanapun masih samar, ketika Taliban masih lagi berunding dengan pemimpin politik kerajaan yang runtuh dan belum ada perjanjian penyerahan rasmi telah diumumkan.
“Emiriah Islam tidak mahu wanita menjadi mangsa,” kata Samagani, menggunakan nama negara dipilih Taliban untuk Afghanistan.

“Mereka seharusnya menjadi sebahagian struktur kerajaan mengikut undang-undang Syariah,” tambahnya.
Ia merupakan perbezaan ketara berbanding kali terakhir Taliban berkuasa, apabila wanita sebahagian besarnya tidak dibenarkan keluar rumah.
Sementara itu, lapangan terbang antarabangsa Kabul, satu-satunya jalan keluar bagi kebanyakan orang, hari ini dibuka semula bagi pemindahan tentera di bawah pemantauan tentera Amerika.
Semua penerbangan digantung kelmarin apabila beribu-ribu orang bergegas ke lapangan terbang, terdesak mahu meninggalkan negara itu. Dalam kejadian mengejutkan dirakam dalam video, beberapa orang bergantungan di sayap pesawat AS ketika ia berlepas kemudian jatuh dan mati. Sekurang-kurangnya tujuh maut dalam keadaan huru-hara itu, kata pegawai AS.
Lapangan terbang itu kelihatan lengang hari ini, menurut rakaman video online oleh Stefano Pontecorvo, serang perwakilan awam NATO di Afghanistan, dengan hanya tentera AS kelihatan di tarmak. Turut kelihatan ialah pesawat pengangkutan kargo tentera yang kelihatan samar-samar dalam video itu.
“Saya nampak pesawat mendarat dan berlepas,” tulisnya di Twitter. Semalaman, data penjejak pesawat menunjukkan pesawat tentera AS berlepas ke Qatar, lokasi bagi ibu pejabat Pusat Pemerintahan AS. Sebuah pesawat kargo tentera Britain juga berlepas ke Kabul dari Dubai, manakala pesawat tentera lain kekal di ruang udara rantau itu. – AP






























