Ta’lim Ulum Al-Quran sentuh keagungan kitab suci

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak dan bagi memperingati Nuzul Al-Quran, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Ta’lim Ulum Al-Quran bertajuk ‘Kebesaran dan Keagungan Al-Quran’ melalui dalam talian, hari ini.

Ta’lim berkenaan disampaikan oleh Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr Mikdar Rusdi.

Beliau telah menyentuh mengenai beberapa perkara penting berkaitan dengan keagungan dan kebesaran Al-Quran yang merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW yang menjadi panduan umat Islam.

Jelas beliau, nuzul bererti turun atau berpindah manakala Al-Quran bermakna bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al-Quran itu untuk dibaca oleh umat Islam.

Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam Al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jenayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Dr Mikdar Rusdi semasa menyampaikan Ta’lim Ulum Al-Quran yang bertajuk ‘Kebesaran dan Keagungan Al-Quran’.

“Kita semua tahu bahawa sejarah telah mencatatkan bahawa semua yang berkaitan dengan Al-Quran pasti mulia di sisi Allah, semua yang berkaitan dengan Al-Quran pasti agung di sisi Allah. Kita melihat Allah SWT memuliakan Malaikat Jibril dengan menjadikannya sebagai Sayyidul Malaiikah Al Mukarrabin, kerana Malaikat Jibril telah ditugaskan oleh Allah untuk menurunkan Al-Quran 30 Juzuk,” ujar beliau.

Beliau juga menyentuh mengenai satu malam, di mana Allah memuliakan malam berkenaan yang bernama malam Lailatulqadar, yang mana malam berkenaan melebihi dari seribu bulan atau melebihi daripada 83 tahun. Malam itu Allah muliakannya disebabkan malam itulah Allah menurunkan Al-Quran dan Allah mengabadikan malam itu dengan nama Lailatulqadar.

“Keagungan dan kebesaran Al-Quran yang Allah sudah berikan kepada umat ini sudah tentu tidak terlepas dari agungnya firman Allah sendiri dan bahkan kita tahu Rasulullah SAW bersabda dalam salah satu hadisnya, tak satu kaum yang berkumpul di rumah Allah sama ada di masjid, surau-surau atau pun di mana juga berada, mereka itu membaca kitab Allah dan saling bertadarus kecuali Allah akan turunkan ke atasnya ketenangan, Allah akan lindungi ke atasnya dengan banyak malaikat dan Allah akan mencurahkan rahmatnya ke atasnya, dan Allah akan sebut-sebut orang ini di sisi malaikat,” kongsinya.

Ini semua, tambah beliau, berlaku apabila mengagungkan Al-Quran, besarnya nilainya Al-Quran itu sendiri ketika dibaca.

Al-Quran merupakan pedoman dalam kehidupan umat Islam dengan harus mengamalkan membacanya, menghayatinya dan belajar darinya, agar sentiasa mendapat rahmat dan pelindungan dariNya jua.