Tam Spider teruja bertemu peminat secara bersemuka

Selepas hampir dua tahun tidak menjayakan persembahan secara terbuka, vokalis kumpulan Spider, Tam, mengakui teruja dapat kembali bertemu peminat secara bersemuka.

Biarpun perlu mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berwajib, Tam atau nama lengkapnya, Rustam Musafah, 48, bersyukur apabila industri muzik kembali ‘bernafas’.

“Alhamdulillah setelah lama berkurung, penggiat-penggiat seni terutamanya dalam industri muzik dapat kembali aktif bekerja.

“Biarpun ada SOP yang perlu dipatuhi, namun saya dan rakan-rakan tidak melihat ia sebagai sesuatu yang membebankan sebaliknya percaya itulah yang terbaik buat kita semua ketika ini.

“Kalau mahu kembali bekerja macam dulu, sama-samalah jalankan tanggungjawab masing-masing dan doakan agar keadaan bertambah baik selepas ini,” ujarnya.

Tam bersyukur apabila industri muzik kembali ‘bernafas’. – Agensi

Tam yang juga aktif sebagai komposer dan penerbit lagu itu ditemui ketika menjayakan persembahan bersama Spider pada Showacse Kenangan Lalu Kuala Lumpur anjuran radio KLFM di Balckbox, Publika baru-baru ini.

Teruja dengan sambutan diberikan peminat, Tam berkata, persembahan tersebut adalah pertama kali buat mereka selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Persembahan ini sangat bermakna buat kami kerana memang sangat lama tidak dapat beraksi di pentas menghiburkan penonton secara terbuka.

“Kali terakhir kami menjayakan showcase Spider di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada 8 Mac 2020 dan seminggu selepas itu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menyaksikan aktiviti industri seni terhenti seketika.

“Jadi apabila dapat kembali bersama peminat dan lihat sambutan meriah diberikan meskipun dalam kekangan SOP, kami rasa cukup terharu, malah bersemangat untuk tampil dengan lebih banyak persembahan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Tam turut berkongsi hasrat Spider mengadakan sebuah persembahan istimewa buat peminat sempena ulang tahun ke-25 penglibatan kumpulan yang cukup dikenali dengan lagu Relaku Pujuk itu dalam industri muzik. – Agensi