Oleh Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong
Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi, Melayu Islam Beraja
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah sempena menyambut Awal Tahun Baru Hijrah 1437 bersamaan 2015 Masihi pada hari Selasa 13 Oktober 2015 / 29 Zulhijjah 1436 antara lain menjelaskan kepentingan sejarah Islam yang menjadi asas rujukan dan panduan umat Islam untuk mentauhidkan Tuhannya.
Oleh itu, kita boleh mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa sejarah yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam bagi membina sesuatu tamadun yang sempurna supaya boleh kekal selama-lamanya dengan berlandaskan Islam untuk mendapatkan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Sebagai contoh kesan-kesan peninggalan sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah apabila Baginda tidak mendapat sambutan baik dari penduduk Taif boleh diambil sebagai satu pengajaran pada umat Islam. Makanya, kita perlu memahami dan mengetahui sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk mengukuhkan dan meneguhkan lagi keimanan kita dengan menginsafi peristiwa dan cabaran yang dilalui oleh Rasullullah dalam menegakkan agama Allah untuk umat Islam dan pengikut-pengikutnya yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Dalam hal ini, Baginda Sultan menekankan bertapa pentingnya dan berharganya sejarah itu, kerana tanpa adanya sejarah, kita pun tidak akan tahu apa nasib Islam dan umatnya pada dewasa ini. Ini adalah satu hikmah kenapa Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW berhijrah untuk menyelamatkan Islam dan umatnya. Sebagaimana titah Baginda mengenai kepentingan sejarah hijrah:
Ini semua namanya ilmu: ‘Ilmu Sejarah’. Peranannya sungguh besar, selaku ‘cermin kehidupan’. Daripadanya, kita dapat melihat gambaran keadaan, bagaimana negara dan umat pada ketika itu, dan bagaimana mereka berusaha dan berjuang? Dari sejarah juga, kita tahu siapa kawan dan siapa lawan. Semuanya terakam dalam sejarah.


Dalam sejarah Hijrah, kita melihat Nabi Muhammad SAW adalah rasul dan pemimpin, sementara Sayyidina Abu Bakar pula, sebagai teman dan pengikut yang setia. Kedua-duanya berpegang kuat kepada falsafah: Rela melakukan apa saja untuk memperolehi redha Allah.
…Siapakah di antara kita pada masa ini yang sanggup berbuat demikian itu, dengan cuma berjalan kaki merentas padang Sahara, mendaki dan menuruni gunung-ganang dan bukit-bukau di bawah terik matahari? Mereka bukan berjalan sebatu dua, tetapi hampir 500 km daripada Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah. Bayangkanlah betapa sukarnya misi ini. Kita boleh nampak, betapa pengorbanan yang amat mencabar ini tidak berlaku dengan sia-sia. Tetapi Allah membalasnya dengan kejayaan dan keselamatan.
Beta yakin, manakala kita umat Nabi Muhammad SAW ini mahu belajar daripada sejarah Hijrah dan mengambil pengajaran daripadanya, maka tidak mustahil, kegemilangan umat yang telah hilang akan kembali semula ke pangkuan kita. Tetapi syaratnya, semua pemimpin dan yang dipimpin hendaklah mengikut gaya kepimpinan Nabi dan gaya siapa yang dipimpin, seperti sahabat Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu ‘Anhu. Mereka ini mengajak umat mentauhidkan Allah sambil membawa semua yang dipimpin bersatu padu menghindari perpecahan.
Alhamdulillah, kita amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya pada 26 Februari hingga 10 Mac lalu serombongan seramai 157 jemaah Brunei termasuk penulis dan pegawai-pegawai dari Raudah Al-Amin Sdn. Bhd. telah bertolak ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah dan seterusnya berkesempatan menziarahi beberapa tempat bersejarah untuk mengetahui lebih mendalam lagi akan sejarah liku-liku perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam.
Tempat-tempat bersejarah yang dilawati adalah peninggalan dari kesan perkembangan tamadun Islam di sekitar Kota Madinah dan Mekah termasuk Kota Taif yang jarang dikunjungi oleh jemaah dari Negara Brunei Darussalam.
Dengan kunjungan ke Kota Taif ini, para jemaah Brunei dapat melihat dan mengetahui dengan mata sendiri keadaan perjalanan yang lalui oleh Baginda Rasullulah dari Mekah ke Kota Taif sebelum Baginda berhijrah ke Kota Madinah Munarrawah untuk menyelamatkan umatnya dan agama Islam.
Rombongan jemaah Brunei telah bertolak pagi dari tempat penginapan di Kota Mekah Mukarramah pada 4 Mac dengan menggunakan bas sewa khas dalam perjalanan melebihi dari satu jam iaitu kira 100 kilometer. Sekurang-kurangnya lawatan dan kunjungan ini akan dapat memberi iktibar dan pengajaran kepada kita tentang sejarah perjuangan Rasullullah dan para sahabat melalui sejarah peninggalan bukti-bukti bisu yang menjadi lambang atau bukti keagungan Islam pada zaman silam.
Antara tempat-tempat yang dikunjungi adalah pasar buah-buahan tempatan, industri bunga Mawar, kebun buah Addas, masjid sepupu Nabi, Abdullah bin Abbas dan makamnya serta menikmati kambing dan ayam satu hidangan untuk empat orang.
Apa pentingnya Kota Taif ini? Sebenar Kota Taif adalah merupakan bandar yang unik yang berbeza dengan Kota Mekah sama ada dari segi sejarahnya atau keadaan alam sekelilingnya.
Berdasarkan kepada perspektif sejarah kita berharap ianya akan dapat melahirkan rasa keinsafan dan tawaduk pada Allah SWT berdasarkan pengalaman dan gambaran yang diberikan mengenai perjalanan Baginda Rasulullah dalam mengembangkan agama Islam iaitu tiga tahun sebelum Baginda melakukan hijrah ke Kota Madinah. Oleh itu, Kota Taif adalah memang terkenal dengan peristiwa dan kisah sedih Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan syiar Islam sekitar dalam tahun 7 Masihi.
Sebenarnya pada peringkat awal perkembangan Islam di Kota Mekah, kaum Quraish mula menentang dan mengancam Baginda apabila Islam mula diperkenalkan di kalangan kaum keluarga Baginda dan juga kaumnya.
Oleh itu, Baginda bercadang mahu mencari tempat baru untuk mendapat perlindungan daripada ancaman kaum Quraish. Perjalanan Rasulullah ke Kota Taif dibuat selepas kewafatan isterinya tercinta, Saidatina Siti Khadijah (pada tahun 619 Masihi) dan bapa saudaranya Abu Thalib (620 Masihi) dengan ditemani oleh Zaid Hartsah.
Matlamat utama tujuan kunjungan Baginda adalah untuk melakukan dakwah dan mengajak Kabilah Tsaqif supaya menerima Ugama Islam sebagai pegangan mereka. Baginda Rasulullah berharap sekiranya warga Kota Taif mahu menerima Islam, kota ini akan dijadikan tempat berlindung bagi kaum Muslimin dan pengikut-pengikut Baginda daripada kekejaman kaum musyrikin Mekah.
Bayangkan untuk mencapai cita-cita ini demi umatnya dan agama Islam, Baginda telah berjalan kaki melalui gunung-ganang yang curam dengan cuaca panas kering dan beribut pasir yang sekarang ini perjalanan menggunakan bas melalui jalan berbukit bukit dianggarkan sejauh 100 kilometer dari Kota Mekah itu pernah mencecah suhu paling rendah, 4 darjah Celsius dan paling tinggi 40 darjah Celsius. Betapa kuat dan kukuhnya keimanan Baginda Rasullulah demi untuk menegakkan syiar Islam sanggup menempuhi semua rintangan ini demi untuk agama Islam yang kita warisi sehingga ke hari ini.
Bagaimanakah sambutan penduduk Taif dengan kunjungan ini ketika itu? Pada awalnya Rasulullah menyangka penduduk Taif dapat menerima kehadiran beliau tetapi tanpa disangka-sangka mereka menolak serta mencemuh Baginda.
Usaha dakwah Rasulullah telah ditentang oleh penduduk kota itu, malah sebaliknya Baginda diperlakukan dengan cara kasar dan hina sekali.
Menurut informasi dari jurupandu jemaah bahawa perjalanan Rasulullah ke Kota Taif ini berlangsung hampir selama sepuluh hari.
Namun, ternyata penduduk Taif melakukan penolakan dan dengan layanan yang tidak berperikemanusiaan kepada Baginda. Mereka sanggup melempari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, sehingga kakinya dan kepalanya terluka terkena batu. Tindakan kejam penduduk Taif ini membuat Zaid bin Haritsah membela dan melindunginya. Dan Baginda telah berdoa kepada Allah SWT agar pada satu masa nanti anak keturunan mereka (Kaum Thasif) akan menjadi golongan yang akan menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukanNya. Inilah besarnya keberkatan doa seorang pesuruh Allah, bukan sahaja penduduknya (akhirnya) menerima agama Islam bahkan bumi Kota Taif begitu subur dengan pertaniannya.
Bagaimanapun, tidak ke semua penduduk Taif menolak seruan Baginda ada juga antara yang telah menerima secara terbuka dakwah Baginda. Misalnya seorang pemuda bernama Addas yang telah menghulurkan bantuan kepada Baginda dari kekejaman penduduk Taif dengan membantu Baginda berteduh di kebunnya. Dan dia adalah merupakan orang pertama yang memeluk agama Islam apabila beliau mendengar Rasulullah mengucapkan bismillah irrahman nirrahim apabila mahu makan buah anggur yang diberikan. Semua rintisan sejarah ini adalah saksi sebagai rujukan dan panduan kita dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Selain daripada kepentingan sejarah Kota Taif, kita juga mengambil inspirasi dan ilham tentang kebesaran Allah SWT di mana buminya yang kering kontang dengan padang pasir itu telah dapat menjadi sebuah yang kawasan subur sebagai sumber ekonomi pertaniannya yang berkembang maju pada dewasa ini.
Berdasarkan kepada pengalaman lawatan tersebut jemaah rombongan telah menyaksikan bagaimana perkebunan bunga mawar dan penanaman buah-buahan tempatan menjadi sumber ekonomi penduduk tempatan. Ternyata, kedinginan hawanya juga menyebabkan Taif begitu popular kerana dapat menghasilkan buah-buahan segar terutama anggur, jagung, tembikai, delima, buah zaitun, bunga mawar dan madu lebih.
Maka ini keunikan Kota Taif selain dari gambaran sejarah perjuangan dakwah Rasulullah, daripada segi perspektif ekonomi, Kota Taif juga dikaitkan dengan sinonimnya Bandar Bunga Mawar itu kini menjadi antara destinasi persinggahan rombongan untuk membeli belah hasil bumi yang asli dibuat dari bunga mawar yang harum baunya.
Oleh itu kunjungan tempat bersejarah seperti Taif ini sangat penting dalam usaha meningkatkan ketakwaan kita ke hadrat Allah SWT, apatah lagi Taif antara lokasi yang mengingatkan kita tentang perjuangan Rasulullah bahkan juga tempat asal kelahiran Sultan Brunei Ketiga iaitu Sultan Sharif Ali (berdasarkan catatan sejarah asal usul Sultan Sharif Ali, Sultan Berkat dikatakan berasal dari Taif, sebelum dilantik menjadi Gabenor Mekah).
Bagi rombongan dari Brunei, kunjungan ini memberi impak yang besar dari segi pengukuhan keimanan kita pada Allah SWT di samping memberi iktibar dan tauladan terutama daripada segi warisan sejarahnya dan pengusahaan ekonominya sebagai lembah yang menghijau. Begitulah pentingnya mempelajari dan mengetahui sejarah ketamadunan Islam.





























