Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Taman bandar hasil makanan sihat untuk golongan memerlukan

    RIO DE JANEIRO – Di kawasan setinggan Rio de Janeiro yang terpalit dengan pengedaran dadah, beberapa remaja dilihat sedang mengawasi jalan sambil membawa senjata api.

    Namun jika berjalan ke kawasan pedalaman ini juga, anda akan menemui taman sayur-sayuran bandar terbesar di Amerika Latin.

    Kisah kejayaan ini didedahkan di sebuah gubuk atau favela yang dipanggil Manguinhos di utara Rio.

    Ia berkembang pesat apabila seluruh negara resah dengan inflasi yang berleluasa dan risau terhadap baja Rusia, kebimbangan utama bagi sektor pertanian yang berkuasa di Brazil.

    Benih pertama ditanam pada akhir tahun 2013 di atas sebidang tanah yang dikenali sebagai ‘crackolandia’ kerana ia merupakan tempat tinggal kepada begitu ramai penagih dadah. Lama-kelamaan ia telah kukuh dan dihormati di kawasan kejiranan di mana pengedar dadah bertanggungjawab.

    Kelihatan para pekerja menuai sayur-sayuran untuk dijual. – AFP
    Seorang lelaki menyiram sayur-sayuran di taman bandar di favela Manguinhos, di Rio de Janeiro, Brazil. – AFP
    Seorang penjual menyusun sayur-sayuran yang dituai dari taman bandar. – AFP
    Pengurus projek Julio Cesar Barros semasa ditemui pemberita taman bandar di favela Manguinhos. – AFP

    Pemandangan dari udara taman bandar di favela Manguinhos, di Rio de Janeiro, Brazil. – AFP

    Hari ini taman itu memberi makan kepada kira-kira 800 keluarga sebulan dengan hasil yang bebas racun perosak dan berpatutan, dua ciri yang tidak selalu seiring.

    “Mengapa orang miskin perlu ditakdirkan untuk makan makanan beracun? Matlamat saya adalah untuk menghentikan makanan organik hanya untuk golongan elit,” kata Julio Cesar Barros, salah seorang pengurus taman, kepada AFP, yang merujuk kepada buah-buahan dan sayur-sayuran yang berharga tinggi dijual di kawasan kejiranan kaya seperti Copacabana dan Ipanema.

    Taman Manguinhos adalah salah satu daripada 56 taman di Rio yang Barros lancarkan dengan pihak berkuasa bandar pada tahun 2006. Dan ia telah dipuji oleh perjanjian antarabangsa yang dipanggil Milan Urban Food Policy Pact sebagai salah satu sistem terbaik di dunia.

    Taman khusus ini memiliki keluasan sebesar empat padang bola sepak dan setiap bulan ia menghasilkan 2.5 tan yuca, lobak merah, bawang, kubis dan sayur-sayuran lain. Separuh dijual kepada keluarga dengan purata dua real (AS$0.40 sen) sekilo dan selebihnya didermakan kepada rumah anak yatim dan tempat perlindungan.

    Jalan keluar dari dadah dan jenayah

    Memakai topi untuk mengelak panas matahari, Dione Enedina Da Silva, 73, membongkok dan mencabut rumput yang tumbuh di antara deretan tanaman sayuran.

    “Taman itu mengubah segala-galanya untuk saya: cara hidup saya, cara permakanan saya,” kata wanita yang mempunyai 10 orang cucu dan ramai cicit.

    “Sebelum ini saya hampir tidak mempunyai wang untuk membeli lobak merah dan bawang.”

    Da Silva merupakan salah seorang daripada 25 pekerja taman itu, yang dibayar dengan hasil daripada jualan. Dia pernah bekerja membersihkan hospital, tetapi pekerja lain di taman itu terlibat dengan dadah dan jenayah di kawasan setinggan dan mempunyai masa depan yang suram, kata Barros.

    Salah seorang pekerja berusia 40 tahun yang tidak mahu berkongsi nama atau butiran masa lalunya menyatakan: “Bekerja di sini adalah terapi. Saya datang setiap hari, tidak kira sama ada cuaca hujan atau cerah. Saya pasti datang,” katanya.

    Dia kini berbangga dengan apa yang dilakukannya dan berkata kerjanya bermakna kerana mampu memberikan anak perempuannya yang berumur 11 tahun makan makanan yang baik dan sihat.

    Obesiti vs pendidikan

    “Pendidikan makanan di sini sangat buruk,” kata Barros. Malah, kadar obesiti dalam kalangan orang berumur lebih 20 tahun meningkat daripada 12.2 peratus kepada 26.8 peratus dari 2002 hingga 2019, menurut statistik kerajaan.

    “Apa yang berlaku jika seorang kanak-kanak pulang ke rumah dengan sayur-sayuran yang mereka tanam di sekolah? Pendidikan mampu mengubah sesuatu dan kanak-kanak mula mempengaruhi ibu bapa mereka untuk makan dengan lebih baik,” kata Barros, yang projek tamannya turut dilakukan di sekolah-sekolah.

    “Makan secara sihat adalah penting tetapi makanan tidak selalunya berpatutan,” kata Alesandra Almeira, 39, seorang penduduk setinggan yang membeli-belah di taman Manguinhos setiap minggu.

    Barros berkata kualiti hasil dari taman ini menarik perhatian restoran berorientasikan kesihatan di Rio, yang telah mula membeli di projek komuniti.

    “Saya mempunyai persoalan: adakah makanan itu bukan lagi untuk mereka yang memerlukannya dan kembali kepada orang kaya? Kita perlu memikirkan cara untuk menyelesaikannya.”

    Sementara itu, projek Barros sedang berjalan lancar.

    Kerajaan bandar Rio telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan taman di kawasan Parque de Madureira di bandar itu untuk menjadikannya hampir empat kali ganda saiz Manguinhos. Pegawai berkata ia akan menjadikannya taman bandar terbesar di dunia. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...