Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Taman Benjakitti tawar kehidupan lestari di Thailand

    BANGKOK – Warga ibu negara Thailand berasa amat teruja dengan taman yang baru dibangunkan di tengah-tengah kesibukan bandar. Penuh padat dengan pokok, kolam, tumbuh-tumbuhan dan burung, setiap hari taman baharu itu menggamit pengunjung untuk melawat Taman Hutan Benjakitti dan mengalami alam semula jadi di tengah-tengah Bangkok.

    Ia merupakan sebahagian daripada satu kempen untuk mewujudkan kehidupan yang lebih lestari di Bangkok menjelang tahun 2030, dengan memperkenalkan tempat teduh, ketenangan dan kedamaian di bandar yang panas dan padat dengan penduduk itu.

    Sebuah lagi taman yang terletak bersebelahan dengan tapak dibina pada 1990, dengan tasik buatan manusia yang besar. Namun lanjutan taman baharu seluas 41 hektar itu telah memikat imaginasi warga ibu negara. Pada hujung minggu, sehingga 12,000 orang menggunakan lorong-lorong di taman, laluan pejalan kaki dan lorong basikal setiap hari, merakam gambar dari platform pemandangan untuk mengisi hantaran media sosial mereka.

    Tapak itu sebelumnya menjadi tempat asal kilang-kilang milik kerajaan Thailand Tobacco Monopoly. Perubahan wajah atau transformasi hanya bermula secara berperingkat-peringkat beberapa tahun lalu, dan pada tahun ini pelawat mulai mengerumuni taman tersebut sebelum perasmiannya yang dirancang pada Ogos. Bunyi dengungan mesin telah berhenti, dan diganti oleh bunyi burung berkicauan dan bunyi kuak katak. Malah bunyi lalu lintas berhampiran pun berkurangan.

    “Saya sukakannya,” kata guru muzik berusia 44 tahun Luckachai Krichnoi, yang meluahkan rasa tidak sukanya terhadap bilik berhawa dingin dan gedung membeli-belah. “Saya suka kawasan luar dan udara segar. Bangkok tidak mempunyai taman yang begitu besar. Saya gembira kami mempunyai ruang yang indah ini.”

    Pemandangan udara menunjukkan Taman Benjakitti di Bangkok, Thailand. – AP
    Orang ramai berehat dan menikmati pemandangan dari laluan lebih tinggi bernama ‘Skywalk’ di Taman Benjakitti di Bangkok. – AP

    Pengunjung berjalan-jalan di lorong yang merentasi Taman Benjakitti. AP

    Taman itu menggabungkan reka bentuk lama dan baharu. Arkitek mengekalkan lebih daripada 1,700 pokok asal dan matang di tapak itu, kemudian menanam hampir 7,000 yang lain – kebanyakannya anak pokok – untuk mewujudkan kawasan hutan di seluruh taman. Ketika pokok-pokok menjadi matang, dedaun akan membesar dengan dahan-dahan dipenuhi daun merampak, sekali gus menambah keluasan litupan hutan.

    Taman itu telah pun menjadi popular dalam kalangan pencinta alam semula jadi, terutamanya pemerhati burung dan jurugambar seperti Somsak Jaitrong, yang berkata dia melawatnya setiap hari dan berjaya menemui lebih daripada 40 spesies burung setakat ini, walaupun yang lainnya telah mengesan lebih banyak lagi.

    “Cara arkitek mereka bentuk taman adalah agak unik kerana mereka meletakkan semua jenis pokok di sini,” katanya. “Awda tahu, burung-burung pergi ke tempat di mana adanya makanan, bukankah begitu?”

    Air juga memainkan peranan penting. Beberapa siri kolam dan pulau mewujudkan alam semula jadi yang mesra kehidupan liar, tanah lembap dan juga berfungsi sebagai satu sistem rawatan, menapis air buangan dari komuniti berhampiran.

    Menurut salah seorang pereka, memulihkan hubungan penghuni bandar dengan dunia semula jadi membentuk salah satu matlamat mereka. Kehijauan taman akan pudar bersama musim, sama seperti alam semula jadi.

    Arkitek landskap itu, Chatchanin Sung, berkata kawasan hijau itu boleh menjadi lebih daripada tempat hanya untuk berlari atau berjoging sekiranya ia membantu memupuk kesedaran orang ramai mengenai alam sekitar dan mempromosi kehidupan yang wujud bersama alam semula jadi.

    Dikelilingi oleh bangunan pencakar langit konkrit dan besi, penghuni bandar buat masa ini menikmati ruang hijau bandar seluas 7 meter persegi, menurut Autoriti Metropolitan Bangkok.

    Matlamatnya adalah untuk menambahnya kepada 10 meter persegi menjelang tahun 2030 menerusi program pembinaan taman, dan menerusi penanaman lebih banyak pokok.

    Namun masalah sebesar yang dihadapi Bangkok, menurut seorang pakar, bukannya jumlah ruang, tetapi penyebarannya. Pameran taman baharu membuktikannya.

    “Taman Benjakitti terletak di kawasan di mana kawasan hijau per kapita adalah jauh lebih tinggi daripada kawasan lain. Maka, sudah pastinya, taman tersebut adalah amat cantik, saya memang sukakannya, tetapi bagaimana pula dengan daerah lain?” kata Niramon Serisakul, pengarah Pusat Reka Bentuk dan Pembangunan Bandar Universiti Chulalongkorn.

    “Haruskah BMA – maksud saya pihak berkuasa kerajaan yang memiliki tanah tersebut – bukankah mereka harus menimbang untuk membina taman seperti ini di daerah lain yang masih kekurangan ruang seumpama ini,” kata beliau.

    Enam kilometer dari persekitaran Benjakitti yang menenangkan, satu lagi kawasan tumbuh-tumbuhan hijau yang terletak di Sungai Chao Phraya di Bangkok. Ketika mata hari terbenam, meskipun bunyi deruan kenderaan, ia menjadi satu tarikan utama, menawarkan pemandangan yang sungguh indah dan suasana nyaman.

    Taman Chao Phraya Sky Park sepanjang 280 meter itu dibangunkan dua tahun lalu daripada sebatang jambatan yang dibina namun tidak digunakan. Bangkok memerlukan lebih banyak penggunaan kreatif ruang yang terbiar seperti ini, kata Niramon, demi mengatasi kekurangan kawasan hijau bandar dalam cara yang lebih saksama. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...