Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Taman berkembang mekar di pameran Philadelphia

    Oleh Jessica Damiano
    Gambar AP

    PHILADELPHIA – Sebaik sahaja melangkah masuk ruang Pameran Bunga Philadelphia di Pusat Konvensyen Pennsylvania minggu lalu, saya terpukau dengan hutan anggerik menakjubkan yang tergantung dari langit-langit di atas pintu masuk ke taman yang dapat berubah warna.

    Pameran yang diberi tajuk ‘FLORASTRUCK’ menyambut pengunjung kembali ke dalam bangunan setelah pandemik dua tahun di Taman FDR bandar itu.

    Acara sembilan hari itu, yang dianggap sebagai pameran kebun tertutup tertua dan terbesar di dunia, biasanya menarik kira-kira 250,000 pengunjung dari seluruh dunia.
    Tahun ini, taman-taman yang dipamerkan disusun dalam sesiaran berliku-liku yang membenarkan pengunjung berjalan-jalan santai.

    Susun atur baharu, bertujuan meniru aktiviti bersiar-siar di luar bangunan, mempelawa pengunjung untuk mengambil bahagian dalam pengalaman ‘landskap bunga’ yang memukau dengan sudut pandang 360 darjah, ada di antaranya mempunyai keluasan hingga 2,900 kaki persegi.

    Tema pameran tahun ini, ‘The Garden Electric,’ dihasrat dapat membangkitkan ‘kegembiraan ketika memberi atau menerima bunga,” menurut Persatuan Hortikultur Pennsylvania, yang menganjur acara tahunan ini.

    Pameran bunga ‘In Search of Peace’.
    Pameran bunga bertajuk ‘Studio Exotica’.
    Gambar serahan Jessica Damiano menunjukkan ‘FLORASTRUCK’, pintu masuk taman yang dihiasi orkid di Pameran Bunga Philadelphia 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Pennsylvania di Philadeplhia.
    Pemandangan dari pameran taman ‘Brain Forest’ di Pameran Bunga Philadelphia di Pusat Konvensyen Pennsylvania.
    Ciptaan ‘Eye Candy’ dipamerkan di Pameran Bunga Philadelphia.

    Konsep perasaan gembira tersebut menjadi inspirasi untuk kira-kira 36 pameran tahun ini jumlah paling banyak dalam sejarah 195 tahun pameran yang dicipta oleh pereka dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.

    Di antara pameran yang menarik perhatian adalah ‘Eye Candy,’ dipersembahkan oleh Schaffer Designs dari Philadelphia, yang menggambarkan warna dan aroma semerbak konfeksi, dengan kepala boneka pakaian dihiasi bunga-bungaan dan donat raksasa bersalut aising kelopak warna merah muda antara konfeksi yang berkilau di bawah lampu neon.

    Pameran ‘In Search of Peace’ hasil rekaan oleh Treeline Designz dari Portland, Oregon, menceritakan kisah seorang wanita yang cuba menenangkan cucu-cucunya yang mengalami trauma hidup di Ukraine dengan cerita pari-pari damai yang tinggal di hutan berdekatan.

    Piramid menyerupai menara kiub Rubik pula berdiri di hujung pameran, memberi panduan kepada pengunjung melalui laluan pejalan kaki bengkang-bengkok yang didereti pokok-pokok dan tumbuhan tempatan.

    Sementara itu, pameran ‘Brain Forest’ oleh Jennifer Designs dari New Jersey, menampilkan pohon tanpa dahan yang bercahaya dengan akar terdedah di atas otak yang dihiasi dengan bunga-bunga yang dapat awda masuki dan jelajahi. Jangan persoalkan pameran ini, nikmati saja pengembaraannya.

    Rangkaian Black Girl Florists mereka bentuk satu pemandangan panorama yang menampilkan tiga tong yang menyalirkan aliran bunga berwarna merah jambu, jingga dan ungu menuruni bukit menuju pokok setinggi 10 kaki, di mana ia bergabung untuk membentuk batas bunga campuran. Pameran ini melambangkan perpaduan anggota individu dari rangkaian tersebut.

    Manakala ‘Studio Exotica,’ pameran yang berinspirasikan disko hasil ciptaan Ill Exotics dari Philadelphia, adalah sebuah kelab malam hortikultur dengan penari, seorang DJ dan pelayan bar yang dihiasi bunga dan tanaman tropika.

    Ketika saya membuat catatan dan merakam gambar sepanjang sesi previu dan media, teman saya menghadiri ‘parti pasu bunga’ yang dihoskan oleh pereka Grammys, Tu Bloom.

    Dia menggubah susunan bunga yang amat cantik dari Pericallis ‘Senetti Violet’, Tradescantia ‘Pink Panther’, dan Peperomia ‘Schumi Red’ yang ditanam dalam pasu kain.

    Jika awda ingin menambah pengalaman awda di acara tersebut, aktiviti tambahan lain yang dipimpin artisan, seperti membuat mahkota bunga segar, lilin atau tas tangan bunga, juga ditawarkan sepanjang pameran.

    Pengunjung juga diberi pilihan tambahan lain termasuk majlis tari-menari bertopeng ‘Flowers After Hours’, kunjungan pameran yang dipandu, kunjungan fotografi awal pagi, sesi pertukangan ‘Design + Dine’ dan pameran kupu-kupu.

    Acara juga termasuk penilaian juri di mana ratusan pekebun bersaing untuk memenangi anugerah reben biru berprestij dalam pelbagai kategori botani. Kategori baharu tahun ini termasuk buah sitrus, dahan cantas dan pertandingan undangan untuk reka bentuk bunga.

    Selain pameran bunga, terdapat juga bahagian Maker’s Market yang mempunyai lebih 200 petak menjual bunga, peralatan berkebun, benih, kerja seni, barangan rumah, barang kemas, makanan dan pakaian. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...