LOURINHA, Portugal – Dengan mulut ternganga luas, mata terbeliak kerana berasa kagum, Joel berusia tujuh tahun kelihatan menghampiri raksasa berukuran empat meter tinggi dan berdiri dekat dengan pemangsa yang paling digeruni itu.
Tyrannosaurus rex (T-Rex) berskala penuh itu hanyalah salah satu daripada peristiwa penting prasejarah yang dipamerkan di Portugal sebagai ‘bandar dinosaur’, sebuah taman tema baharu di salah satu kawasan yang kaya dengan fosil di Eropah.
“Kami mempunyai 120 pengeluaran semula berskala besar yang terdiri daripada 70 spesies yang berlainan, kelihatan berselerakan di kawasan seluas 10 hektar,” kata Simao Mateus, pengarah saintifik Dino Park memberitahu AFP.
Walaupun ia baru dibuka baru-baru ini, taman ini terletak di sebahagian kawasan Portugal yang sememangnya terkenal dalam kalangan ahli paleontologi, dengan fosil-fosil lama yang sungguh luar biasa.
Bandar terdekat Lourinha, satu jam perjalanan ke utara Lisbon, telah menjadi tempat destinasi kegilaan dinosaur sejak belasan sisa-sisa haiwan itu telah ditemui di sana pada akhir abad ke-19.



Ia sudah mempunyai sebuah muzium dinosaur dan patung-patung arca logam dan resin dinosaur itu boleh dilihat dari jalan pusing kelilingnya, sementara laluan jalan kakinya dihiasi dengan lukisan tapak kaki dinosaur berwarna-warni.
“Lourinha begitu khusus dan teliti mengenai dinosaurnya, jadi kita semua perlu menikmati” kemudahan baharu ini, kata Mateus.
Pengunjung yang datang ke taman itu telah disambut dengan model gergasi berleher panjang, Supersaurus, salah satu generik dinosaur terbesar, yang dianggap sebagai koleksi yang mengagumkan seperti apa-apa yang terdapat di Eropah.
Diimport dari Jerman, patung-patung arca resin ini dilihat memenuhi kawasan laluan hutan di sana, yang membawa ahli paleontologi menuju eon ketika dinosaur ‘memerintah’ bumi.
Kebanggaan tempat itu adalah dua model dinosaurnya, yang betul-betul ditemui di bandar itu.
Lourinhasaurus adalah seekor sauropod, jenis haiwan yang sungguh besar, herbivor berkaki empat yang sama seperti Brachiosaurus atau Diplodocus, yang telah berkembang biak di kawasan hutan hujan barat Laurasia, sekitar 150 juta tahun yang lalu.
Gergasi lembut itu tidak boleh dikelirukan dengan Lourinhanosaurus, seekor pemangsa bertaring tajam dan cerdik, dalam saiz ukuran seekor buaya yang tinggal atau hidup pada zaman era yang sama dengan Lourinhasaurus.

Mateus berkata minat orang ramai terhadap taman itu sangat memberangsangkan di mana 175,000 pengunjung telah memasuki pintu-pintu masuknya dalam enam bulan sejak pembukaannya, walaupun berhadapan dengan cuaca yang tidak mengizinkan yang berpanjangan.
Pada lawatan ini, tirai latar dinosaur yang mengaum dari pelbagai jenis bentuk dan saiz, sekumpulan rombongan kanak-kanak sekolah begitu kagum dan terkejut dengan saiz T-Rex, yang mempunyai rahang yang besar dan mampu menumpaskan pemangsanya dengan satu gigitan.
Manakala kanak-kanak lainnya terlihat mengelilingi sebuah model Iguanodon, era Cretaceous, walaupun salah seorang kanak-kanak lelaki terlihat menjauhi jaraknya dengan reptilia raksasa berkuku tajam.
Bagi pekerja taman itu, Filipa Pedro, yang telah memberikan blok-blok batu, tukul, pahat dan alat lain kepada generasi geologi seterusnya, taman itu dapat memberikan kanak-kanak berkenaan suatu pengalaman yang bermanfaat dan mampu mengimbau kembali masa lalu, yang telah lama pupus dari planet ini.
“Kanak-kanak suka dinosaur, mereka sangat menyukai makhluk-makhluk misteri ini, yang datang dari mimpi-mimpi mereka,” katanya.
“Ini adalah hasil daripada kartun-kartun dan juga filem sebagai subjeknya. Pengetahuan mereka sangat mengagumkan. Jadi taman ini pasti memberi keseronokan buat mereka.” – AFP