Taman Disney Tokyo mula dibuka 1 Julai

TOKYO, 23 JUN – Tokyo Disneyland dan DisneySea akan dibuka semula mulai 1 Julai selepas penutupannya lebih empat bulan akibat koronavirus, kata pengendalinya hari ini, ketika Jepun secara beransur-ansur membuka semula sektor ekonominya, termasuk taman tema dan sukan profesional.

Oriental Land mengatakan kedua-dua pusat peranginan itu akan beroperasi semula bagi sebilangan pengunjung yang membeli tiket dalam talian dan tempahan.

Taman-taman ini akan menerapkan langkah-langkah penjarakan sosial yang ketat dan penggunaan penutup mulut dan hidung, selain semua pengunjung perlu menjalani pemeriksaan suhu.

“Kami akan mengendalikan semula taman ini secara berhati-hati dengan mengehadkan jumlah pengunjung dan perjalanan individu, serta melakukan pembersihan dan penjarakan sosial,” kata Oriental Land dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, sekumpulan pengendali taman Jepun, termasuk Oriental Land, mengeluarkan panduan mengenai cara beroperasi dengan selamat di bawah ancaman virus.

Gambar fail pada 1 Januari 2016 menunjukkan karakter ‘Mickey Mouse’ memakai pakaian tradisional Jepun, melambai para pengunjung ketika perarakan sempena tahun baharu di Taman Disney Tokyo. Disneyland dan DisneySea akan dibuka semula mulai 1 Julai selepas penutupannya lebih empat bulan akibat koronavirus. – AFP

Di antara cadangannya, pengunjung dinasihatkan untuk menjaga kelakuan semasa menaiki satu-satu permainan di dalam taman tema berkenaan.

Sementara ‘hantu’ yang bersembunyi di ‘rumah hantu’ harus menjaga penjarakan fizikal dari ‘korban’ mereka, tambah garis panduan itu.

Taman Disney yang lain, termasuk di California dan Paris telah mengumumkan pembukaan semula.

Shanghai Disneyland menyambung semula operasi pada bulan Mei.

Taman Disney di Tokyo ditutup pada akhir Februari ketika wabak itu melanda seluruh dunia. – AFP