Taman monumen percuma buat individu lahir 20 februari

KUALA TERENGGANU – Jika tanggal lahir anda pada 20 Februari, anda seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Terengganu dan singgah di Taman Monumen yang terletak di Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man kerana ada ‘hadiah’ istimewa buat anda pada tarikh itu.

Masuk ke Taman Monumen dan ukir memori dengan menyusuri Sungai Terengganu menaiki TTI River Cruise, semuanya dengan percuma. Bagi pengunjung lain pula, ada juga berita baik buat anda pada tarikh berkenaan apabila tiket masuk ke Taman Monumen dan menaiki TTI River Cruise diberikan diskaun istimewa iaitu masing-masing RM15 seorang berbanding harga asal RM24 seorang.

Pengurus Besar TTI Management Sdn Bhd, Fazrul Isham Mohd berkata tawaran istimewa itu bertujuan menarik kedatangan pelancong ke Taman Monumen sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kami berharap mereka di luar sana akan segera merebut peluang ini untuk meraikan sambutan hari ulang tahun dengan promosi istimewa ini,” katanya kepada media.

Taman Monumen ini dibina pada 2005 yang menempatkan 23 buah monumen Islam dari pelbagai negara seperti Kota Alhambra di Sepanyol, Masjid Qairawan di Tunisia, Masjid Sultan Suleyman di Turki, Taj Mahal di India, Masjid Xi’an di China, Masjid Samara di Iraq, Kubah As Sakhrah di Palestin, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi, Masjid Kudus Minar di Indonesia,  Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddin di Brunei dan Masjid Sultan Singapura. TTI River Cruise pula adalah pakej menyusuri Sungai Terengganu yang akan membawa pengunjung ke jambatan angkat ‘drawbridge’ untuk menikmati pemandangan bandar raya Kuala Terengganu di sepanjang laluan sungai itu.

Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Acara Taman Monumen, Taman Tamadun Islam, Wan Nur Mariam Din menunjukkan promosi masuk percuma ke Taman Monumen bagi pengunjung yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 20 Februari mendatang. – Bernama
Taman Monumen ini menempatkan 23 buah monumen Islam dari pelbagai negara seperti Sepanyol, Tunisia, Turki, India, China, Iraq, Palestin, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Singapura. – Bernama

Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat replika kubah As-Sakhrah atau kubah batu Masjid Al-Aqsa Baitulmuqaddis di Taman Monumen tersebut. – Bernama

Selain Taman Monumen dan TTI River Cruise, pengunjung ke TTI juga boleh menikmati pelbagai hidangan menarik di restoran B’Beteng, merakam keindahan seni bina Masjid Kristal, membeli aneka produk di kedai cenderahati dan menyewa Pusat Konvensyen untuk penganjuran pelbagai majlis.

Mengulas lanjut, Fazrul Isham berkata satu lagi tarikan baharu di Taman Monumen ialah pengunjung boleh menyewa kostum khas daripada pelbagai negara untuk merakam gambar di monumen Masjidil Haram sebagai kenangan manis di taman itu.

“Bayaran yang dikenakan hanya RM5 dan pengunjung boleh memilih pelbagai kostum bangsa Arab, China dan India. Kami juga akan menambah lebih banyak kostum dari negara lain secara berperingkat.

“Penambahbaikan yang dilakukan diharap dapat menjadikan Taman Monumen sebagai destinasi wajib singgah pelancong ke Terengganu kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai pengetahuan ketamadunan Islam, teknologi pembinaan, warisan dan budaya serta sejarah saintis dan tokoh-tokoh Islam dari pelbagai negara pada zaman silam,” katanya.

Lebih menarik lagi, terdapat beberapa monumen di negara asal yang sudah musnah akibat peperangan seperti Kota Aleppo di Syria dan Masjid Samara di Iraq, namun pengunjung masih boleh melihatnya di Taman Monumen.

Bagi umat Islam pula, monumen Kubah As Sakhra atau ‘Dome Of The Rock’ mampu mengubat kerinduan mereka terhadap bumi Baitulmuqaddis di Palestin yang kini agak sukar dikunjungi. Pengunjung, Noor Fazurah Mohamad, 33, berkata beliau terharu dapat masuk ke dalam kubah itu untuk melihat sendiri ‘batu terapung’ dan kehalusan seni yang ada di kubah itu sama seperti yang terdapat di Baitulmuqaddis.

“Banyak ilmu pengetahuan yang saya peroleh sepanjang berada di sini… masa tiga jam yang diluangkan di sini tidak begitu terasa kerana sangat khusyuk dengan penerangan yang diberikan oleh pemandu pelancong di Taman Monumen.

“Taman Monumen bukan hanya pusat pelancongan namun bagi saya ia adalah aset berharga kerana mengumpulkan pelbagai sejarah dari seluruh dunia. Sudah pasti saya akan mempromosikan Taman Monumen kepada sahabat dan saudara mara untuk berkunjung ke Terengganu,” katanya. – Bernama