Taman riadah diabaikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Jan – Taman riadah yang sebelum ini dikenali sebagai tempat pengunjung beriadah pada waktu pagi dan petang, kini menjadi lengang selain kelihatan tidak terurus.

Terletak di kawasan berdekatan flat-flat kerajaan di Kampung Pandan 8, taman permainan ini ditumbuhi dengan rumput yang panjang dan semak, selain tong-tong sampah dipenuhi sampah-sarap dan alat-alat permainan taman hampir tidak kelihatan lagi kerana ditutupi tumbuhan liar.

Beberapa orang pengunjung yang ditemui berdekatan taman berkenaan memberitahu Media Permata, mereka tidak lagi berani membawa anak-anak untuk bermain di taman tersebut memandangkan ia sudah dalam keadaan terbiar, kerana bimbang akan keselamatan, termasuk khuatir kehadiran binatang berbahaya seperti ular dan sebagainya.

Salah seorang wanita pula berkata, dia sudah lama tidak pergi ke taman tersebut kerana sudah berpindah ke kawasan lain, tetapi baru-baru ini pada waktu pagi, beliau berasa rindu akan tempat itu dan pergi ke sana untuk berjoging di waktu pagi.

Taman riadah di kawasan Flat-flat Kerajaan Kampung Pandan 8 yang terbiar dengan keadaan rumput yang panjang.
Taman riadah di kawasan Flat-flat Kerajaan Kampung Pandan 8 yang terbiar dengan keadaan rumput yang panjang.
Sampah-sarap terbiar memenuhi tempat-tempat pembuangan sampah dan juga tapak yang sepatutnya ditumbuhi tanaman bunga.
Sampah-sarap terbiar memenuhi tempat-tempat pembuangan sampah dan juga tapak yang sepatutnya ditumbuhi tanaman bunga.

“Saya amat terkejut melihat keadaan taman yang pernah menjadi kegemaran saya untuk tempat berjoging kerana kawasannya sebelum ini selesa dan ramai pengunjung terutama di kalangan penduduk berdekatan,” katanya.

Beliau menambah, tidak mungkin beliau akan kembali berjoging ke taman tersebut lebih-lebih lagi jika bersendirian, melihat keadaan taman yang terbiar dan dipenuhi dengan rumput panjang, longgokan sampah dan keadaan persekitaran yang agak menyeramkan.

Selain itu, beberapa orang lagi melahirkan harapan supaya pihak-pihak berkenaan akan segera mengambil langkah mengadakan kempen pembersihan taman tersebut, terutama sekali melakukan pemotongan rumput-rampai dan pembuangan sampah dan dahan-dahan kayu yang liar, untuk menghindari daripada berlaku sebarang bahaya.

Bukan saja kehadiran tetamu yang tidak diundang seperti ular yang menjadi kebimbangan, malahan sang buaya yang kini sudah semakin kerap muncul di kawasan-kawasan Kampung Pandan.