Taman tema realiti maya pertama dibuka pada Mac

KUALA LUMPUR, 9 FEB – Serba Dinamik Group Bhd merancang melancarkan secara rasmi D’Virtual Park, taman tema realiti maya pertama dengan teknologi hologram di Malaysia, pada minggu ketiga Mac tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulannya Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata pelancaran awal taman tersebut yang terletak di Kota Samarahan, Sarawak, dijadualkan pada minggu pertama Mac.

“Taman itu kini sudah hampir sedia untuk dibuka kepada orang ramai. Kami telah membawa banyak institusi lain yang melahirkan minat mereka (untuk menjadi sebahagian daripada taman itu), kami juga ada berhubung dengan beberapa agensi pelancongan dan pengawal selia.  “Saya rasa apa yang kami lakukan adalah meletakkan nama Samarahan di peta dunia,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas mengenai sasaran pengunjung, beliau berkata ketika ini Sarawak menerima kemasukan kira-kira 3.87 juta pelancong dan Serba Dinamik menyasar 500,000 pengunjung daripada jumlah itu bagi tahun pertama operasinya.

Taman itu menampilkan tujuh daya tarikan dilengkapi dengan teknologi tinggi canggih yang terdiri daripada kunjungan maya perayauan bebas, mainan tunggangan yang menyeronokkan serta medan pertempuran maya.  Mohd Abdul Karim berkata D-Virtual Park menyesuaikan permainannya agar ia boleh dinikmati oleh semua pemain yang memiliki kemahiran berbeza-beza.

“Permainan kami direka bagi mengoptimumkan keutamaan individu. Bukan itu sahaja, kami juga merupakan antara perintis taman maya yang memberikan audiens kami peluang merasai pengalaman menonton pertunjukan teater hologram yang disesuaikan, menawarkan pengalaman sinematik paling revolusi,” katanya. – Bernama