NEW YORK, 21 MEI – Sebuah taman aneh baharu yang kelihatan terapung di atas cerucuk di Sungai Hudson dibuka kepada orang awam di luar pantai pesisir Manhattan hari ini, empat tahun selepas perbalahan di antara jutawan Barry Diller dan pemaju harta tanah yang mengugut menjejaskan projek tersebut.
Taman baharu itu, dipanggil Little Island tetapi diberi nama gelaran Diller Island semasa dibina, menelan kos AS$260 juta daripada yayasan Diller, bekas CEO 20th Century Fox dan isteri, pereka fesyen Diane von Furstenberg.
Ia menggabung beberapa jeti di bahagian barat Manhattan yang telah dibangunkan semula untuk kegunaan rekreasi sejak 20 tahun lalu, tetapi reka bentuknya yang unik telah menarik perhatian ramai orang.
Bunga, pokok dan ruang pertunjukan terletak di 132 pasu konkrit yang digelar pasu tulip. Pasu didirikan pada tiang dengan ketinggian berlainan supaya laluan berbelok-belok menerusi kawasan taman seluas 2.4 ekar pada cerun yang melandai.
Taman itu dihubungkan oleh dua jambatan.
“Kesemuanya merupakan oasis untuk memberikan konsep menyeronokkan, unik dan santai,” kata Diller di laman web taman.
Hiburan termasuk pertunjukan muzikal, teater dan tarian akan bermula pada pertengahan Jun ini, katanya. – AP




































