‘Tamatkan rasuah’

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Indeks Negara Brunei Darussalam menurun empat anak tangga di kedudukan ke-35 daripada 180 buah negara dalam tinjauan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) untuk tahun 2019, yang dikeluarkan pada 23 Januari lalu.

Brunei berkongsi kedudukan di tempat ke-35 bersama Israel, Lithunia dan Slovenia dengan skor 60. Skor dan kedudukan CPI itu adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara pada skala daripada sifar (dianggap paling korup) ke 100 (paling bersih).

Dalam kalangan 10 negara ASEAN, Brunei berada di tangga kedua selepas Singapura. Secara global, Singapura berada di kedudukan keempat disusuli Brunei (35), Indonesia pula kedudukan ke-85, Vietnam ke-96, Thailand ke-101, Filipina ke-113, Laos dan Myanmar ke-130 dan Kemboja ke-162.

Di seluruh dunia, Denmark dan New Zealand berada di kedudukan teratas dengan masing-masing 87 mata manakala Finland pada kedudukan ketiga dengan 86 mata. Singapura, Sweden dan Switzerland berkongsi kedudukan keempat dengan masing-masing 85 mata.

Negara pada kedudukan tercorot adalah Syria (178), Selatan Sudan (179) dan Somalia (180) dengan ma-sing-masing 13, 12 dan sembilan mata.

Laporan oleh TI yang berpangkalan di Berlin menekankan jumlah ‘mengejut’ negara-negara yang menunjukkan sedikit atau tiada peningkatan dalam menangani rasuah, meskipun pergerakan antirasuah mendapat momentum secara global.

Dua pertiga daripada 180 negara memperoleh skor di bawah 50, dengan skor purata hanya 43, serupa dengan keputusan pada 2018.

Sejak 2012, hanya 22 negara, termasuk Greece, Guyana dan Estonia, telah meningkatkan skor mereka sementara skor 21 negara pula menurun.

CPI yang bermula pada 1995, meletakkan 180 buah negara dan wilayahnya mengikut tahap rasuah sektor awam, menurut pakar-pakar dan masyarakat perniagaan. Ia diperoleh melalui 13 tinjauan dan penilaian pakar untuk menerbitkan skor bagi setiap negara.

Laporan itu mengatakan, negara-negara yang membiayai pilihan raya dan parti politik mudah terdedah kepada pengaruh tidak wajar daripada pihak-pihak berkepentingan yang tidak dapat menangani rasuah, menurut keputusan analisis.

“Kekecewaan dengan kerajaan yang korup dan kekurangan kepercayaan dalam institusi menggambarkan perlunya bagi integriti politik lebih meluas,” kata Pengerusi TI, Delia Ferreira Rubio.

“Kekurangan kemajuan sebenar memerangi rasuah dalam kebanyakan negara sangat menyedihkan dan memberi kesan negatif yang sangat besar kepada penduduk di seluruh dunia,” kata Pengarah Urusan TI, Patricia Moreira.

“Untuk menamatkan rasuah dan meningkat kehidupan rakyat, kita perlu mengatasi hubungan antara politik dan kewangan. Semua lapisan masyarakat harus mempunyai hak bersuara dalam membuat keputusan.”

TI dalam laporannya turut mencadangkan usaha untuk mengurangkan rasuah dan memulihkan kepercayaan dalam politik, kerajaan perlu melaksanakan sekat dan imbangan, mempromosi pemisahan kuasa-kuasa, menangani pengolahan utama untuk memastikan bajet dan perkhidmatan awam tidak didorong oleh kaitan peribadi atau bias ke arah kepentingan khas, mengawal kewangan politik untuk mencegah lebihan wang dan pengaruh dalam politik, mengurus konflik-konflik kepentingan dan mengatasi amalan revolving door.