Tambah bekalan vaksin Pfizer – Suga

TOKYO, 18 APRIL – Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga meminta pembuat vaksin Amerika Syarikat (AS), Pfizer Inc. untuk menyediakan bekalan tambahan vaksin COVID-19 bagi mempercepat kelancaran program vaksinasi negara itu, yang ketinggalan di belakang kebanyakan negara lain.

Suga, setelah mengadakan perbincangan dengan Presiden Joe Biden di Rumah Putih, mengakhiri lawatannya di Washington kelmarin dengan panggilan telefon kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla.

Taro Kono, seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam melaksanakan program vaksinasi berkenaan, berkata pada sebuah rancangan televisyen Jepun hari ini bahawa kedua-dua pihak telah secara praktikal mencapai kesepakatan mengenai vaksin tersebut.

Suga meminta Bourla menyediakan bekalan tambahan yang akan mencakupi semua penerima yang layak menjelang bulan September, serta untuk memastikan penghantaran vaksin yang stabil dan cepat, kata pegawai Jepun hari ini. Tidak ada perincian mengenainya telah dikeluarkan. Menurut pegawai tersebut, Bourla memberitahu Suga bahawa Pfizer merancang untuk bekerjasama secara erat dengan kerajaan Jepun untuk membincangkan permintaan tambahan vaksin itu.

Jepun – yang pengembangan vaksin domestiknya masih pada tahap awal – harus bergantung pada vaksin import dan menandatangani perjanjian dengan Pfizer, AstraZeneca dan Moderna. Vaksin Pfizer adalah satu-satunya yang diluluskan oleh Jepun setakat ini. – AP

Yoshihide Suga sebelum menaiki pesawatnya di Pangkalan Tentera Udara Andrews, Md., 17 April lalu selepas mengadakan lawatan ke Washington. – AP