Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kumpulan Isteri-isteri Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu, baru-baru ini, telah menghadiri Program Taklimat Adat Istiadat di Jabatan Adat Istiadat Negara, di sini.
Taklimat berobjektif untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan lagi kefahaman sedia ada mengenai adat istiadat negara khususnya berhubung protokol, terasul dan penggunaan Bahasa Dalam.
Rombongan diketuai oleh isteri Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Yang Dimuliakan Seri Laila Pengiring Diraja Datin Seri Utama Hajah Rosnah binti Abdullah selaku pengerusi kumpulan berkenaan.
Turut hadir ialah isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad selaku pengerusi II.
Taklimat mengenai adat istiadat telah disampaikan oleh Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara Jabatan Adat Istiadat Negara, Awang Razali bin Haji Badar. Taklimat diikuti dengan tunjuk ajar pemakaian kain kapit bagi jemputan perempuan semasa menghadiri majlis-majlis beristiadat yang tertentu dan acara kenegaraan.
Selain itu, taklimat juga menyentuh mengenai tatacara membuat persediaan bagi pengendalian majlis-majlis yang melibatkan keberangkatan kerabat diraja dan pembesar-pembesar Negara.