Tambahan ciri baharu dalam aplikasi BruHealth

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Beberapa ciri baharu bakal dimasukkan dalam aplikasi BruHealth termasuk rekod peribadi kesihatan, perjanjian hospital dan konsultasi secara video dalam talian.

Penambahan ciri-ciri baharu yang dibuat secara digital ini bertujuan membantu masyarakat di negara ini untuk mengetahui sejarah kesihatan bagi memperkesankan lagi pengurusan kesihatan masing-masing.

Sejak aplikasi BruHealth diperkenalkan di negara ini pada 14 Mei lalu, sehingga ke hari ini sejumlah lebih 436,047 telah mendaftar dan menggunakan aplikasi tersebut.

Aplikasi BruHealth yang digunakan pada masa ini adalah sebagai satu platform respon epidemik dan platform penglibatan penduduk bagi memudahkan Kementerian Kesihatan membuat pengesanan kontak jika berlakunya penularan virus COVID-19 dalam
kalangan masyarakat di negara ini.

Demikian telah dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kenyataannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menghadiri sidang media berkenaan.

Menurutnya, dengan adanya platform seumpama itu, ianya membolehkan pihak kerajaan memanfaatkan big data dan artificial intelligence ke arah usaha membantu Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak yang berkepentingan memantau tahap dan status kesihatan warganegara dan penduduk di negara ini, di samping membantu dalam membuat ramalan kadar jangkitan, pemetaan sumber perubatan yang membolehkan perancangan secara lebih berkesan khususnya penyediaan prasarana bagi penjagaan kesihatan serta menyediakan polisi-polisi yang berkaitan dengan kesihatan awam di negara ini.

Dalam hubungan itu, beliau bagi pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi sukacita merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama yang berterusan dan bersepadu di antara pihak yang berkepentingan di dalam Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi dan penglibatan sektor swasta iaitu Syarikat IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), Syarikat Dynamik Technologies Sdn Bhd, Unified National Networks Sdn Bhd(UNN) dan EVYD Technology dalam sama-sama menjayakan projek yang berskala besar tersebut.

“Dukungan yang padu di antara agensi-agensi kerajaan dan swasta di negara ini mencerminkan kesepaduan dan kesepakatan kitani semua dalam menangani cabaran-cabaran khususnya wabak COVID-19,” kata Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar seterusnya menerangkan dengan lebih terperinci mengenai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan bagi fasa kedua.

“Faedah-faedah yang dapat diperolehi melalui ciri-ciri baru aplikasi BruHealth yang mana pengguna aplikasi boleh mengetahui sejarah kesihatan peribadi mereka seperti diagnosis penyakit, semua ujian-ujian makmal yang telah dijalani, lawatan ke hospital ataupun ke klinik kerajaan, dan juga preskripsi ubat-ubat yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan dan juga oleh pihak swasta,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Menurutnya, bila seseorang itu pergi ke mana-mana klinik ataupun hospital di negara ini, maklumatnya tidak akan hilang atau disalah tafsir. Ia benar-benar di dalam kawalan pengguna melalui BruHealth tersebut.

“Pengguna juga boleh membuat tempahan awal bagi mendapatkan perjumpaan dengan doktor tanpa perlu datang awal lagi ataupun berebut-rebut slot untuk mendapatkan perjumpaan di hospital ataupun klinik kerajaan. Ianya dapat mengelakkan mereka daripada menunggu terlalu lama untuk berjumpa dengan doktor.”

Tambahnya lagi, ada sebahagian juga boleh membuat temu janji secara video dalam talian (melalui tempahan terlebih dahulu). Ini termasuk bukan sahaja bersama doktor, tetapi juga bersama pakar permakanan (dietition), yang akan dibuat bagi perjumpaan susulan.

Seterusnya, pembayaran juga boleh dibuat dalam talian untuk memudahkan mereka membuat perjanjian dalam talian, akan tetapi ini tidak bermaksud semua orang mesti membuat pembayaran dalam talian.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, ciri-ciri tersebut akan dilaratkan ke semua hospital kerajaan dan klinik swasta akan tetapi buat masa ini, ia akan mula diperkenalkan kepada satu pusat kesihatan dahulu pada minggu depan, iaitu Pusat Kesihatan
Sengkurong, di mana mereka akan mencubanya dahulu selama sebulan untuk melihat sekiranya ada permasalahan yang timbul, dan jika tidak, akan dilaratkan secara berperingkat ke klinik-klinik yang lain.