Tambahan ejen tingkatkan mutu perkhidmatan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Setelah permohonan lesen memandu dan lesen kenderaan yang tertunggak ditutup pada 29 Oktober, seramai 29 ejen tambahan bagi Talian Darussalam 123 (TD123) telah ditugaskan untuk menerima panggilan dan permohonan, seterusnya fokus dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada orang ramai.

Hasil daripada peningkatan dan penambahbaikan tersebut, TD123 telah berjaya menurunkan kadar telefon tidak berjawab daripada 41 peratus pada September dan 38 peratus pada Oktober kepada 18 peratus pada bulan ini. Perkara berkenaan telah diketengahkan oleh Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi hari ini.

Menurut beliau lagi, EGNC akan terus memantau perkembangan perkhidmatan TD123 bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik khususnya dalam Negara Brunei Darussalam melalui Fasa Peralihan dan seterusnya Fasa Endemik.

Di samping itu, tambah beliau, TD123 sedang dalam proses menaiktarafkan laman sesawang baharu yang akan siap dilaksanakan pada 22 November depan.

Dalam hal ini, TD123 memohon maaf atas sebarang gangguan yang mana laman sesawang TD123 tidak dapat diakses semasa penaiktarafan tersebut.

Untuk perkembangan terkini, orang ramai bolehlah mengikuti media sosial TD 123.

Dayang Mazriyani semasa menerangkan mengenai penambahan ejen bagi TD123 semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin.