KUWAIT CITY, 1 Mei – Kuwait hari ini merasmikan salah satu tambak terpanjang di dunia, menghubungkan ibu negara negara yang kaya dengan minyak itu dengan rantau sempadan yang tidak didiami untuk menjadi hab perdagangan zon bebas utama.
Jambatan sepanjang 36 kilometer menghubungkan Kuwait City dengan kawasan padang pasir utara Subbiya itu bakal memacu hasrat Kuwait untuk mewujudkan projek ‘Silk City’ yang menghubungkan negara Teluk dengan Asia Tengah dan Eropah.
Jambatan ‘Jaber’ yang dinamakan sempena Allahyarham Sheikh Jaber Al-Ahmad Al-Sabah, menjangkau 36 kilometer di mana tiga perempat daripadanya merentangi laut.
Jambatan itu akan memendekkan waktu perjalanan antara Kuwait City dan Subbiya dekat dengan Iraq dan Iran daripada 90 minit kepada kurang daripada setengah jam.
Pelaburan dalam projek Silk City dijangka melebihi AS$100 bilion dan loji tenaga 5,000 megawatt telahpun dibina di Subbiya.
Tambak bernilai AS$3.6 bilion yang direka oleh kumpulan kejuruteraan dan perunding Systra yang berpangkalan di Paris itu mengambil masa lima tahun untuk dibina.
Kerja-kerja pembinaan dijalankan oleh sebuah konsortium yang diketuai oleh Hyundai Engineering and Construction Co dari Korea Selatan bersama Combined Group Contracting Co dari Kuwait
Majlis pembukaan itu dihadiri oleh emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmed Al-Sabah bersama Perdana Menteri Korea Selatan Lee Nak-yeon dan ketua senator Perancis, Gerard Larcher.
Lee Nak-yeon hari ini berkata, tambak itu akan menjadikan Kuwait sebagai sebuah pusat perdagangan antarabangsa. – AFP
