SINGAPURA, 7 Ogos – AirAsia menawarkan promosi jualan tambang rendah daripada serendah S$0.53 bagi penerbangan dari Singapura ke destinasi di ASEAN sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-53 republik itu.
Promosi tersebut dibuka untuk tempahan menerusi airasia.com dan aplikasi telefon bimbit bermula sekarang sehingga 12 Ogos 2018 bagi tempoh perjalanan dari sekarang sehingga 31 Januari 2019.
“Selamat Hari Lahir Singapura! Kami gembira untuk menawarkan jualan ‘Super Steady’ serendah S$0.53 untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-53 Singapura,” menurut Ketua Pegawai Komersial Kumpulan, Siegtraund Teh dalam kenyataan hari ini.
Republik itu akan menyambut Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.
“Kami berharap warga Singapura akan merebut peluang ini untuk meraikan percutian bersama orang tersayang ke destinasi baharu dan memulakan perjalanan unik bersama kami.
“Dengan kekerapan penerbangan kami ke Bandar Singa, kami berharap warga Singapura akan pulang ke negara mereka untuk menyambut Hari Kebangsaan. Kami juga menggalakkan tetamu dari negara jiran untuk terbang ke Singapura dan menikmati sambutan yang ikonik itu,” katanya.
Air Asia Group mengendalikan 317 penerbangan terus setiap minggu dari Terminal 4, Lapangan Terbang Changi, Singapura ke 16 destinasi menarik.
Ini termasuk enam destinasi di Malaysia (Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Kuching, Miri dan Kota Kinabalu), tiga destinasi di Thailand (Bangkok, Phuket dan Krabi), enam destinasi di Indonesia (Bali, Bandung, Jakarta, Medan, Semarang dan Yogyakarta) serta satu destinasi ke Cebu, Filipina.
Promosi itu hanya melibatkan tambang asas dan tidak termasuk cukai dan fi. – Bernama